NAMA lengkapnya adalah Ismail bin Afdal Ali bin Al-Muzaffar Mahmud bin al-Mansur Muhammad bin Taqi ad-Din Umar bin Syahansyah bin Ayyub al-Malik al-Mu’ayyad Imaduddin Abu al-Fida (إسماعيل بن علي بن محمود بن محمد بن عمر شاهنشاه بن أيوب بن شادي السلطان المؤيد عماد الدين أبو الفداء) atau lebih dikenali sebagai Abu Fida (أبو الفداء).
Beliau telah dilahirkan pada tahun 672 M di Damsyik (دمشق) dan merupakan salah seorang seorang cucu keluarga Ayyub, ayah Saladin (Sultan Shalahuddin Al-Ayyubi - صلاح الدين الأيوبي).
Ketika berusia 12 tahun, beliau telah menyertai rombongan ayahnya serta saudara sepupunya al-Muzaffar Mahmud II (المظفر محمود الثاني), dalam satu penyerbuan terhadap benteng St. John (سنت جون), malah beliau juga turut serta dalam penyerbuan pada Perang Salib (الحرب الصليب) di Tripoli (طرابلس), Arced (مقوس الظهر) dan Qalat ar-Rum (قلعة الروم).
Lima tahun kemudiannya, ketika beliau berusia 17 tahun, beliau turut bertempur melawan tentera-tentera Salib yang menguasai Trablis (طرابلس) dan pada tahun 710 H, beliau telah diangkat menjadi putera mahkota di daerah Hammah (حماة) dan sekitarnya serta menjadi raja pada tahun 712 H dengan gelaran al-Malikul Muayyad (الملك المؤيد).
Selain itu beliau merupakan seorang ahli geografi dan ahli sejarah. Setelah memasuki usia tua, beliau telah menghasilkan beberapa karya puitis termasuk sebuah gubahan daripada karya juristik al-Mawardi (الماوردي), yang berjudul Al-Hawi (الحاوي).
Penulisan karyanya banyak menyangkut keagamaan dan subjek-subjek itu telah hampir hilang sebahagiannya. Tetapi dua buah karya besarnya telah berhasil mengangkat reputasinya sebagai salah seorang ilmuwan tersohor.
Keduanya merupakan antologi berukuran besar yang kemudiannya disusun dengan sempurna sekali. Karyanya itu berjudul Mukhtasar Tarikh al-Basyar (المختصر في تاريخ البشر), iaitu sebuah buku sejarah antarabangsa yang mencakupi pra-Islam dan sejarah Islam pada tahun 729 H.
Selain itu, kitabnya yang berjudul Takwin al-Buldan (تقويم البلدان), iaitu sebuah deskripsi geografi yang dilengkapi dengan sejumlah data, matematik, dan fizik turut diiktiraf oleh para ilmuwan yang lain.
Dalam penulisan dan pengkajian itu, Abu Fida banyak membahas dan memberi penjelasan astronomi dan kedudukan bumi. Beliau juga telah menemukan alat yang disebut “miqyas” yang dapat digunakan untuk mengukur luas beberapa tempat yang berbeza-beza.
Beliau juga sempat menghasilkan sebuah karya yang berjudul, An Abridgement of the History of the Human Race, iaitu sebelum dua tahun pengakhiran hayatnya.
Sumber: Utusan Malaysia. Selasa. 22/3/2011.
Write a comment
Catat Ulasan