OLEH KHAIRUL ANUAR MOHAMAD
IMAM Hamzah (الإمام حمزة) meninggalkan sejumlah murid yang meneruskan kesinambungan qiraatnya. Antara mereka ialah seorang ulama sufi yang terkenal iaitu Ibrahim bin Adham (إبراهيم بن أدهم), Sufian al-Thauri (سفيان الثوري) dan ramai lagi yang sempat mengambil Qiraat dari Imam Hamzah. Pernah dijelaskan, bahawa Imam Abu Hanifah yang hidup sezamannya memberi pujian dan menghormati kealiman Imam Hamzah dalam dua disiplin ilmu iaitu Faraid (الفرائض) dan Qiraat (القراءات).
Jika sekali mendengar Qiraat Hamzah melalui dua perawinya iaitu Khalaf (خلف بن هشام) dan Khallad (خلاد بن خالد), ramai yang akan tertanya adakah begini caranya Rasulullah SAW membaca al-Quran. Persoalan yang diutarakan adalah kerana banyaknya perbezaan atau khilaf antara Imam Hamzah dengan Imam-Imam Qiraat yang lain. Namun jika diteliti dengan tekun, kebanyakan khilaf dalam Qiraat Hamzah adalah pada kalimah yang sama khilafnya riwayat Warsy (ورش) daripada Imam Nafei’ (الإمام نافع). Umpamanya pada kalimah [وبالآخرة] Warsy membaca dengan tawasut (توسط) dan Isyba’ (إشباع) dan Imam Hamzah pula membacanya dengan saktah (سكت).
Selain itu keraguan tentang cara bacaan Imam Hamzah juga boleh ditolak dengan pengakuan muridnya yang juga seorang ulamak terkenal iaitu Sufian al-Thauri dimana beliau pernah berkata: Tidak lah Imam Hamzah membaca setiap huruf dalam al-Quran melainkan berdalilkan dengan athar (الآثار).
Menguatkan lagi hujah betapa sahihnya bacaan Imam Hamzah ialah apabila menekuni sanad bacaannya. Antara sanadnya ialah Imam Hamzah mengambil al-Quran daripada Abi Abdullah Jaafar al-Sadiq (أبي عبد الله جعفر الصادق) yang mengambil dari ayahnya Muhammad al-Baqir (محمد الباقر) yang mengambil dari ayahnya Abi al-Hasan Zainal Abidin (أبي الحسن زين العابدين) yang mengambil daripada ayahnya Abi Abdillah al-Husain (أبي عبد الله الحسين) yang mengambil al-Quran daripada ayahnya Ali Ibn Abi Talib r.a. (علي بن أبي طالب) Dan seterusnya Ali Ibn Abi Tali r.a sudah tentu mengambil al-Quran daripada Rasulullah SAW.
Justeru semua fakta yang dikemukakan menunjukkan bahawa Qirat Imam Hamzah adalah mutawatirah. Ibn Mujahaid (ابن مجاهد) yang meninggal pada tahun 324 hijrah, tidak teragak-agak memasukkan Qiraat Hamzah di kalangan senarai Qiraat Tujuh yang mutawatirah [القراءات السبع المتواترة].
Pada hari ini, Qiraat Hamzah boleh dipelajari di pusat-pusat pengajian al-Quran dalam dan luar negara. Buku-buku rujukan untuk semua ilmu Qiraat adalah dalam bahasa Arab. Malah, amat sedikit buku rujukan dalam ilmu qiraat ditulis dalam bahasa Melayu. Jika terdapat pun ia adalah nota atau kertas kerja yang ditulis dan dibentang dalam seminar al-Quran. Walaupun begitu, di Malaysia masih terdapat guru-guru al-Quran yang mampu memberi tunjuk ajar Qiraat Tujuh. Niat dan harapan untuk mempelajari Qiraat Tujuh termasuk Qiraat Hamzah perlu ada khususnya kepada peminat ilmu qiraat termasuk guru-guru al-Quran.
Sumber: Utusan Malaysia. Rabu. 9/2/2011.
Write a comment
Catat Ulasan