Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
AL-MARAGHI (المراغي) berkata: Surah al-Tin (سورة التين) termasuk Surah Makiyyah (مكية). Ia terdiri daripada lapan ayat dan diturunkan selepas Surah al-Buruj (سورة البروج). Surah ini berkait dengan Surah al-Insyirah (سورة الإنشراح).
Surah al-Insyirah telah dijelaskan oleh Tuhan perihal makhluk Allah SWT yang paling sempurna iaitu Nabi Muhammad SAW. Berikutnya dalam surah ini Allah SWT menerangkan perihal keadaan manusia sehingga akhir saat urusan mereka dan balasan yang telah disediakan oleh Allah SWT untuk orang yang beriman kepada rasul-Nya.
Firman Allah SWT: Demi (buah) Tin dan (buah) Zaitun.
وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ (١)
Ibn Kathir (ابن كثير) mengemukakan beberapa pendapat berkenaan dengan tin antaranya:
(1) Masjid Damsyik (مسجد دمشق).
(2) Gunung-ganang dan bukit di sekelilingnya.
Al-Qurtubi (القرطبي) berpendapat: Masjid Ashab al-Kahfi (مسجد أصحاب الكهف).
Ibn Abbas r.a (ابن عباس) berpendapat Masjid Nuh yang berada di puncak gunung Judiy (الجودي).
Ustaz Muhammad Abduh (محمد عبده) berpendapat, al-Tin adalah nama pokok tempat Nabi Adam a.s bernaung di syurga. Sedangkan al-Zaitun pula dikatakan Masjid Baitu al-Maqdis (بيت المقدس) dan buah zaitun.
Al-Maraghi (المراغي) berkata: Tin dan zaitun mengingatkan kewujudan kedua-dua masa ini iaitu Nabi Adam a.s sebagai bapa manusia yang pertama dan Nabi Nuh a.s sebagai bapa manusia yang kedua.
Firman Allah SWT: Dan demi bukit Sina. Iaitu bukit Tursina atau gunung Sinai.
وَطُورِ سِينِينَ (٢)
Al-Alusi (الألوسي) berkata: Ia merupakan tempat Allah berkata-kata dengan Nabi Musa a.s tanpa khilaf lagi ia bukit di negeri Syam (الشام) tetapi yang ma’ruf pada masa kini adalah satu kawasan antara Mesir dan Aqabah (عقبة).
Firman Allah SWT: Dan demi kota (Mekah) ini yang aman.
وَهَذَا الْبَلَدِ الأمِينِ (٣)
Ibn Abbas (ابن عباس), Mujahid (مجاهد), Ikrimah (عكرمة), al-Hasan (الحسن), Ibrahim al-Nakhaie (إبراهيم النخعي), Ibn Zaid (ابن زيد) dan Ka’ab al-Akhbar (كعب الأخبار) berpendapat ia kota Mekah.
Ibn Kathir (ابن كثير) berkata: Sebahagian ulama berpendapat: Tiga tempat ini dimuliakan Allah di mana Allah bangkitkan setiap satunya Rasul yang diutuskan di kalangan ulul al-Azmi (أولوا العزم).
Pertama: Tempat tin dan zaitun di Baitu al-Maqdis yang diutuskan Nabi Isa bin Maryam (عيسى بن مريم).
Kedua: Tursina (طور سيناء) di mana Allah SWT berbicara dengan nabi Musa a.s.
Ketiga: Mekah yang Allah SWT utuskan Muhammad SAW.
Berdasarkan kenyataan di bawah, jelas menunjukkan permulaannya di tempat yang mulia kemudian lebih mulia dan yang terakhir paling mulia. Yang mana Allah menceritakan berdasarkan tertib, kewujudan mereka secara kronologi.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.
لَقَدْ خَلَقْنَا الإنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ (٤)
Ibn Kathir (ابن كثير) berkata: Allah SWT ciptakan manusia dalam sebaik-baik bentuk kejadian, ketinggian dan keindahannya.
Al-Maraghi (المراغي) berkata: Kami telah mencipta manusia dalam bentuk yang paling baik. Kami jadikan manusia bersifat tegap, bertulang tumit indah, mampu mencapai maksud yang diinginkannya dengan tangannya, tidak seperti haiwan yang memungut sesuatu dengan mulutnya.
Allah SWT mengurniakan keistimewaan akal kepada manusia, kebolehan membezakan serta kesanggupan menerima ilmu yang pelbagai jenis. Begitu juga mereka mampu membuat gagasan yang menjadikannya mampu menguasai alam wujud, di samping itu mereka yang mempunyai kemampuan dan jangkauan memperoleh apa yang diingini.
Firman Allah SWT: Kemudian kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka). Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya.
ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ (٥) إِلا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ (٦)
Syed Qutub (سيد قطب) dalam Fi Zilal al-Quran (في ظلال القرآن) berkata: Apabila ia menyeleweng dengan fitrahnya dari garis lurus yang ditunjukkan Allah dan setelah diberi penjelasan dan kebebasan agar ia memilih salah satu dari dua jalan.
Merekalah golongan manusia yang kekal di atas fitrahnya yang lurus, kemudian mereka lengkapkan pula fitrah mereka dengan iman dan amal soleh dan terus meningkat ke darjat yang sempurna yang diperuntukkan kepada mereka sehingga berakhir dengan kehidupan yang sempurna di negeri akhirat, negeri yang sempurna.
Firman Allah SWT: Maka apakah yang menyebabkan kamu mendustakan (hari) pembalasan sesudah (adanya keterangan-keterangan) itu?
فَمَا يُكَذِّبُكَ بَعْدُ بِالدِّينِ (٧)
Ibn Jauzi (ابن الجوزي) dalam Zad al-Masir (زاد المعاد) menyebut dua pendapat:
(1) Apakah yang menyebabkan kamu berdusta hai manusia selepas hujah ini berkaitan pembalasan. Ini adalah ancaman kepada orang kafir seperti yang disebut oleh Muqatil (مقاتل).
(2) Siapa yang mampu dalam pendustaanmu dengan pahala dan balasan selepas nyata Allah mencipta manusia. Inilah pendapat al-Farra’ (الفراء).
Firman Allah SWT: Bukankah Allah hakim yang seadil-adilnya?
أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الْحَاكِمِينَ (٨)
Syed Qutub (سيد قطب) berkata: Tidakkah Allah itu Pengadil Yang Maha Adil apabila Dia menetapkan hukuman-hukuman seperti ini? Atau tidakkah hikmat kebijaksanaan Allah mencapai matlamatnya dalam hukuman yang telah ditetapkan terhadap orang mukmin dan bukan mukmin.
Penutup
Al-Maraghi (المراغي) berkata: Allah SWT itu paling bijaksana mencipta dan mengatur. Oleh sebab itu, Allah SWT menetapkan wujudnya pembalasan amal bagi umat manusia.
Tujuan pembalasan ini supaya manusia tetap kekal pada martabatnya yang mulia menurut fitrah semulajadi mereka. Akan tetapi manusia telah menjatuhkan diri mereka ke martabat yang paling hina, lantaran kebodohan dan pengaturan yang salah.
Justeru, Allah SWT mengirimkan para rasul kepada manusia untuk memberi khabar gembira (petunjuk) dan menyampaikan ancaman. Para rasul ini diberi syariat untuk dijelaskan kepada manusia dan mengajak mereka ke jalan Allah SWT sebagai bukti sifat pemurah Allah SWT kepada manusia.
Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 18/2/2011.
Write a comment
Catat Ulasan