Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD
TIGA Imam Qiraat yang menjadi pilihan Ibn Mujahid [ابن مجاهد] (meninggal 324 hijrah) dalam permasalahan ilmu al-Quran dan Qiraat di Kufah (الكوفة) ialah Imam ‘Asim, diikuti Imam Hamzah dan terakhirnya ialah Imam al-Kisaei (الإمام الكسائي). Ahli sejarah menyatakan bahawa Imam al-Kisaei yang berketurunan Parsi lahir pada tahun 119 hijrahi. Nama penuhnya ialah Ali Ibn Hamzah Ibn Abdullah Ibn Bahman Ibn Fairuz al-Asadi (علي بن حمزة بن عبد الله بن بهمن بن فيروز الأسدي).
Gelaran al-Kisai yang membawa kemasyhuran kepadanya itu kerana beliau selalu berihram dengan menggunakan sejenis kain al-Kisa’. Ada juga yang menyatakan bahawa, al-Kisaei selalu hadir dalam majlis ilmu Imam Hamzah dan menyelubungi dirinya dengan kain Kisa’.
Imam Hamzah menghormati kealiman al-Kisaei dan mengarah muridnya dengan menyatakan bacalah kamu kepada orang yang memakai al-Kisa’.
Imam al-Kisaei berguru dalam ilmu Qiraat dan al-Quran dengan ramai ulama. Antaranya ialah Imam Hamzah (الإمام حمزة), Isa Ibn Umar al-Hamazani (عيسى بن عمر الهمزاني), Abi Bakr ‘Ayyash (أبو بكر بن عياش), Ismail Ibn Ja’far (إسماعيل بن جعفر), Ya’kub Ibn Ja’far (يعقوب بن جعفر) dan ramai lagi.
Kemasyhuran al-Kisaei dalam ilmu tatabahasa arab juga amat terserlah dan menjadi rujukan. Nama al-Kisai dan pendapatnya banyak terdapat dalam kitab nahu.
Kepakarannya dalam ilmu nahu begitu menonjol kerana gurunya dalam ilmu itu adalah salah seorang pengasas kepada satu aliran nahu iaitu al-Khalil Ibn Ahmad al-Farahidi (الخليل بن أحمد الفراهيدي).
Al-Khalil adalah ulama yang banyak memberi sumbangan dalam perkembangan bahasa arab dan juga al-Quran. Beliau amat kreatif dalam melakukan pembaharuan ilmu untuk menjaga kepentingan dan maslahat umat Islam.
Antara sumbangannya yang besar adalah merubah tanda baris al-Quran dhammah (ضمة), fathah (فتحة) dan kasrah (كسرة) yang sebelumnya ialah noktah telah ditukar kepada huruf.
Jika fathah (baris atas) ditukar kepada alif, kasrah (bawah) ditukar kepada huruf ya dan dhammah (tanwin) ditukar kepada huruf wau. Selain itu, beliau menambah beberapa tanda lain seperti tasydid [تشديد] (sabdu) dan sukun [سكون] (mati). Kaedah ini diterima pakai seluruh ulama dan diamalkan dalam mushaf sehingga ke hari ini.
Berbalik kepada Imam al-Kisaei, beliau juga banyak menghasilkan penulisan antara kitabnya adalah Ma’ani al-Quran (معاني القرآن), al-Qiraat (القراءات), al-‘Adad (العدد), al-Nawadir al-Kabir (النوادر الكبير) dan beberapa kitab dalam ilmu nahu seperti al-Hija (الهجاء) dan kitab al-Huruf (الحروف).
Abu Bakar Ibn Hamad (أبو بكر بن حماد) meriwayatkan daripada Khalaf (خلف) bahawa setiap kali menjelang bulan Syaaban, Imam al-Kisaei membaca al-Quran di atas mimbar dan mengkhatamnya sebanyak dua kali.
Setelah berkhidmat kepada al-Quran dalam tempoh yang agak panjang dan ramai ulama yang lahir hasil didikannya, Imam al-Kisai meninggal dunia pada tahun 189 hijrah di satu tempat yang bernama al-Ranbawaih (رنْبَوَيْهْ).
Beliau meninggal dunia pada hari yang sama meninggalnya Imam Muhammad Ibn al-Hasan (محمد بن الحسن) iaitu sahabat baik kepada Imam Abu Hanifah ketika dalam perjalanan menuju ke Khurasan (خرسان) mengikut rombongan Khalifah Harun al-Rasyid (خليفة هارون الرشيد).
Sumber: Utusan Malaysia. Rabu. 23/2/2011.
Write a comment
Catat Ulasan