Seni Bina Masjid




Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA

Masjid adalah seni bina yang amat sinonim dengan masyarakat Islam. Ia merupakan mercu tanda yang amat ketara di sesebuah penempatan Islam. Perkataan masjid bermaksud tempat untuk bersujud atau tempat bersembahyang dan ia berasal daripada perkataan Arab, sujud yang menjelaskan cara orang Islam bersembahyang. Perkataan masjid juga mempunyai persamaan maksud bagi perkataan Sepanyol iaitu mezquita. Perkataan ini diadaptasi dari Sepanyol yang pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Umayyah [الدولة الأموية] dan wilayah Islam pertama yang terletak di Eropah. Masjid juga dikenali dengan pelbagai nama di Eropah, seperti mosque (Perancis), moschee (German), moschea (Itali).

Di dalam sejarah Islam, seni bina masjid bermula dengan struktur seni bina yang amat ringkas. Walaupun Rasulullah SAW berasal dari Mekah dan memulakan seruan Islam di sana tetapi masjid pertama yang didirikan oleh baginda adalah ketika peristiwa hijrah. Ada yang menyatakan Masjid Quba [مسجد قباء] sebagai masjid yang pertama yang didirikan oleh baginda dan Saydina Abu Bakar r.a. Namun, ada penyelidik yang memilih Masjid Nabi atau Masjidil Nabawi di Madinah sebagai masjid yang pertama kerana ia mempunyai peranan dan fungsi yang lebih besar dalam penubuhan pemerintahan Islam yang pertama. Ia berperanan sebagai tempat untuk bersembahyang, tempat untuk belajar mengenai Islam dari Rasulullah SAW, tempat bermesyuarat mengenai hal ehwal keselamatan, sosial dan ekonomi Madinah ketika itu.

Seni bina Masjid Nabawi ketika itu digambarkan seperti sebuah dewan luas yang tidak tinggi dan mempunyai ruang yang dibahagikan oleh sembilan baris tiang tiap satunya dan mempunyai arah kiblat yang menunjukkan arah Mekah. Kesederhanaan seni bina Islam ini berlangsung sehingga Dinasti Umayyah di bawah pemerintahan Khalifah al-Malik [عبد الملك بن مروان] dan puteranya al-Walid [الوليد بن عبد الملك بن مروان] I.44. Sewaktu kerja-kerja pengubahsuaian Masjid Nabawi dijalankan, baginda telah membesarkan saiz dewan sembahyang dan ditambah dengan tiang-tiang dari wilayah luar berserta hiasan.

Sewaktu Dinasti Abbasiyah [الدولة العباسية] pula, Ibnu Abbas r.a. [ابن عباس] menggunakan seni bina sebagai satu alat propaganda dalam menunjukkan kehebatan dan kekuatan kerajaan Islam ketika itu. Selari dengan perkembangan Islam keluar dari Semenanjung Tanah Arab, seni bina masjid juga turut berkembang dalam pelbagai gaya dan bentuk seni bina.

Dari Barat sehingga ke Timur berbagai-bagai rekaan seni bina masjid didirikan bagi membolehkan umat Islam berkumpul dan beribadat. Secara amnya seni bina masjid sering dikaitkan dengan kubah berbentuk bulat dan menara tetapi tidak semua masjid di wilayah Islam mempunyai kedua-dua ciri ini. Contoh yang terdekat adalah masjid tradisional Dunia Melayu.

Seni bina masjid Dunia Melayu sebelum abad ke 19 tidak mempunyai kubah. Masjid Dunia Melayu kebanyakannya mempunyai atap tumpang yang bertingkat.

Di China pula, masjid mempunyai seni bina yang hampir sama dengan seni bina kediaman masyarakat tempatan tanpa kubah dan dihiasi dengan hiasan masyarakat tempatan seperti kaligrafi, motif awan larat, dan bunga teratai.

Persamaan yang ada dalam seni bina masjid yang didirikan dari Barat hingga ke Timur dan dari dahulu sehingga sekarang ialah dewan sembahyang yang luas bagi memuatkan jumlah jemaah yang ramai, mihrab (tanda yang menunjukkan arah kiblat) dan tempat untuk mengambil air sembahyang. Setiap masjid juga mempunyai mimbar bagi para khatib membaca khutbah sewaktu sembahyang Jumaat dan sembahyang Aidiladha dan Aidilfitri. Rekaan mimbar adalah pelbagai dan menarik bagi setiap wilayah Islam.

Di galeri seni bina Muzium kesenian Islam Malaysia terdapat pelbagai contoh masjid dari Timur Tengah, Asia Tengah, China dan Asia Tenggara. Pameran di galeri ini dimulakan dengan dua buah model masjid yang mempunyai kedudukan yang penting dalam Islam iaitu Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah. Kepelbagaian bahan binaan, rekaan dan keindahan sentuhan artistik masyarakat Islam tempatan dapat dilihat dengan jelas pada setiap model seni bina yang dipamerkan.

Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 21/1/2011.

Write a comment