Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA
BARANGAN logam (المنتجات المعدنية) mempunyai kedudukannya yang tersendiri dalam dunia Islam. Rekaan bentuk barangan logam yang cantik sering digunakan dalam hidangan jamuan yang diadakan di dalam istana atau di kediaman golongan bangsawan yang sekali gus melambangkan taraf pemiliknya. Barangan logam juga boleh dijadikan sebagai warisan keluarga.
Pada zaman dahulu, barangan gangsa menjadi pilihan utama kerana sifatnya yang tahan lasak dan keindahan warnanya. Kecantikan rekaan barangan logam bergantung kepada warna dan kilatan permukaannya yang dihasilkan dengan penggunaan jenis logam tertentu.
Barangan logam dunia Islam yang awal masih lagi menggunakan rekaan barangan logam zaman sebelum Islam. Kebanyakannya dihasilkan dengan menggunakan acuan dan ia kemudiannya dihiasi dengan turisan dan tombol. Barangan yang dihasilkan selalunya adalah seimbang daripada segi kesenian dan kegunaan praktikal.
Sebagai contoh, untuk rekaan lampu minyak selain mempunyai satu tangkai ia juga mempunyai empat tempat sumbu yang boleh menghasilkan lebih banyak sumber api dan lebih terang.
Satu lagi teknik seni barangan logam dunia Islam ialah tebukan. Teknik ini berkembang dengan cepat di bahagian timur wilayah Islam seperti di Iran ketika itu. Teknik ini digunakan dalam pembuatan barangan logam seperti lampu masjid yang digantung dan tempat bara yang digunakan untuk membakar setanggi (المباخر).
Teknik ini bersesuaian dengan kegunaan kedua-dua jenis barangan yang dihasilkan kerana lampu memerlukan lubang tebukan untuk cahaya keluar dan tempat bara juga memerlukan ruang tebukan untuk wangian yang dihasilkan dari setanggi dapat dinikmati. Tempat bara sering digunakan oleh golongan berada untuk mengharumkan ruangan kediaman mereka dengan bahan wangian yang mahal dan bermutu yang berasal dari India dan Semenanjung Tanah Arab.
Teknik pembuatan barangan logam terus berkembang dalam dunia Islam. Satu lagi jenis teknik pembuatan barangan logam diperkenalkan oleh salah seorang tokoh pencipta Islam, al-Jazari (بديع الزمان أبو العز بن إسماعيل الرزاز الجزري), ialah teknik tatahan (ترصيع).
Teknik tatahan adalah teknik pembuatan barangan logam yang menggunakan lebih daripada satu jenis logam. Untuk menghasilkan teknik ini, bentuk rekaan hiasan yang hendak digunakan akan dilukis di atas logam utama kemudian ia dipotong dan permukaannya dikasarkan supaya memudahkan logam lain dilekatkan di atasnya. Sejenis damar hitam digunakan oleh tukang besi sebagai gam.
Pilihan kepingan logam seperti tembaga (النحاس), perak (الفضة) dan emas (الذهب) digunakan sebagai bahan tatahan kerana perbezaan warna dan kilatannya. Kemahiran tukang barangan logam dunia Islam ini juga turut diminati di wilayah bukan Islam sehingga abad ke 14 Masihi.
Sumber: Utusan Malaysia.Khamis. 27/1/2011.
Write a comment
Catat Ulasan