OLEH: KHAIRUL ANUAR MOHAMAD
Kebanyakan umat Islam pada hari ini membaca al-Quran dengan mengamalkan riwayat Hafs daripada Qiraat Imam ‘Asim [قراءة الإمام عاصم]. Riwayat ini menjadi amalan umat Islam kerana senang difahami dan kerana khilaf qiraatnya amat sedikit berbanding dengan riwayat-riwayat lain. Riwayat Hafs juga telah ditulis dan dicetak dalam bentuk mushaf dan tersebar dengan banyaknya dalam dunia Islam termasuk Malaysia. Selain itu, kebanyakan rakaman 30 juzuk al-Quran juga dibuat mengikut riwayat Hafs.
Bacaan dalam solat di masjid-masjid utama di negara Islam seperti Masjidil Haram di Mekah, Masjid Nabi di Madinah, Jami’ al-Azhar di Mesir dan beberapa negara Islam lain menggunakan riwayat ini sebagai bacaan dalam solat mereka. Inilah beberapa gambaran menunjukan bahawa riwayat Hafs adalah bacaan yang paling tersohor di kalangan umat Islam pada hari ini. Ringkasnya riwayat Hafs mendapat tempat dalam dunia Islam kerana menjadi amalan bacaan harian, dicetak dalam mushaf, dirakam dalam bentuk cekera padat dan dibaca dalam solat. Bahkan jika dibaca riwayat lain di hadapan mereka, mereka menyatakan ini adalah bacaan tidak sah.
Jika begitulah pengetahuan kita terhadap riwayat Hafs maka amat wajarlah kita membuat sorotan siapakah Imam Hafs? Siapakah guru dan muridnya? Bagaimana peribadi dan sumbangannya? Sebenarnya hal yang sama juga kita perlu mendalami tentang setiap ilmu yang kita amalkan seperti ilmu fiqh, tauhid, hadis, tafsir dan lain-lain. Ini supaya apa yang kita amalkan itu bukan sekadar taklid tetapi memahami dasar amalan kita.
Nama Imam Hafs ialah Hafs Ibn Sulaiman Ibn al-Mughirah Ibn Abi Daud al-Asadi al-Kufi [حفص بن سليمان بن المغيرة بن أبي داود الأسدي الكوفي]. Lahir pada tahun 90 hijrah dan meninggal dunia pada tahun 180 hijrah. Beliau adalah anak tiri kepada Imam ‘Asim.
Diantara majoriti murid Imam ‘Asim yang paling alim tentang Qiraat ‘Asim ialah Imam Hafs. Keperibadiannya amat dipercayai atau disebut thiqah. Beliau juga mempunyai ingatan yang kuat dan mantap. Berbeza dengan Qurra yang lain, semasa hayatnya Imam Hafs selalu berulang-alik antara Baghdad, Mekah dan Kufah dengan tujuan mengajar umat Islam dengan Qiraat ‘Asim.
Pada kebiasaannya, Qurra mengajar al-Quran di kawasannya sahaja seperti Imam Ibn Amir [ابن عامر] mengajar di Damsyik dan Imam Ibn Kahthir [ابن كثير] mengajar di Mekah sahaja.
Antara muridnya ialah Husin Ibn Muhammad al-Maruzi [حسين بن محمد المروزي], Hamzah Ibn Qasim al-Ahwal [حمزة بن قاسم الأحول], Sulaiman Ibn Daud al-Zahrani [سليمان بن داود الزهراني], Hamdan Ibn Abi Uthman al-Daqqaq [حمدان بن أبي عثمان الدقاق], Muhammad Ibn al-Fadl al-Zarqan [محمد بن الفضل زرقان], ‘Umru ibn al-Sabbah [عمرو بن الصباح], ‘Ubaid Ibn al-Sabbah [عبيد بن الصباح] dan lain-lain.
Usaha yang dibuat oleh Imam Hafs semasa hayatnya dalam mengembangkan Qiraat ‘Asim membuahkan hasil di mana pada hari ini kebanyakan umat Islam membaca riwayatnya sebagai amalan harian.
Sumber: Utusan Malaysia. Rabu. 19/1/2011.
Write a comment
Catat Ulasan