SELEPAS memahami sejarah hidup Imam Ibn ‘Amir al-Dimaysqi merangkumi guru, murid dan sumbangannya kepada pengajian al-Quran, perlu juga diberi penekanan kepada dua perawinya yang meneruskan dalam memperkembangkan Qiraat Ibn 'Amir kepada masyarakat Islam. Qiraat Ibn ‘Amir menjadi bacaan yang popular di kalangan penduduk Syam satu ketika dahulu. Sheikh Mahmud Khalil al-Husari menyatakan bahawa Qiraat Ibn ‘Amir bertahan selama hampir 500 tahun di bumi Syam. Selepas itu, Qiraat Abu ‘Amru mengambil tempat dan menjadi amalan penduduk Syam.
Perawi pertama Imam Ibn ‘Amir ialah Hisyam Ibn ‘Amar Abu al-Walid. Beliau lahir pada tahun 153 hijrah iaitu semasa pemerintahan al-Mansur. Beliau meninggal dunia pada tahun 245 Hijrah. Hisyam mendalami Qiraat Ibn Amir daripada gurunya ‘Arak al-Mirri dan Ayub Ibn Tamim yang mana kedua-duanya adalah murid kepada Yahya al-Zimari. Yahya al-Zimari pula adalah murid kepada Imam Ibn ‘Amir.
Dalam bidang hadis, Hisyam mendalaminya daripada beberapa guru antaranya Malik Ibn Anas, Sufiyan Ibn ‘Uyainah, Muslim Ibn Khalid al-Zinji. Penguasaannya dalam ilmu hadis menjadi rujukan sehingga Imam Bukhari mengambil beberapa periwayatan Hisyam dalam sahihnya. Ulama Hadis dari Baghdad meriwayatkan bahawa Hisyam Ibn ‘Ammar pernah berkata aku memohon dan berdoa kepada Allah tujuh perkara. Dan Allah memakbulkan enam perkara dan aku tidak tahu bagaimana dengan ketujuh.
(1) Aku meminta dikurniakan kepada ku melakukan haji, Allah telah memperkenankan.
(2) Aku meminta dilanjutkan usia ku hingga 100 tahun, Allah memakbulkanya.
(3) Aku meminta menjadi pendokong sunnah Rasulullah SAW, Allah memakbulkanya.
(4) Aku berdoa supaya manusia datang kepada ku untuk menuntut ilmu, Allah memakbulkanya.
(5) Aku meminta supaya dapat berkhutbah di atas mimbar Damsyiq, Allah perkenankanya.
(6) Aku meminta dikurniakan seribu dinar, Allah perkenankan.
(7) Dimana aku tak mengetahui adakah diperkenan atau sebaliknya ialah aku memohon ampun dosaku dan dosa ibu bapaku.
Perawi kedua Ibn ‘Amir ialah Ibn Zakuan. Nama penuhnya ialah Abdullah Ibn Ahmad Ibn Bisyr. Mempelajari Qiraat Ibn 'Amir daripada gurunya Ayyub Ibn Tamim. Ibn Zakuan juga pernah bertalaqi dengan al-Kisai ketika beliau datang ke Syam. Mengenai gurunya al-Kisai, Hisyam menyatakan bahawa beliau menekuni al-Quran daripada al-Kisai selama tujuh bulan dan khatam al-Quran di hadapannya beberapa kali. Ibn Zakuan adalah guru al-Quran yang terkenal pada zamannya. Ramai muridnya yang sempat bertalaqi al-Quran, antaranya adalah anaknya sendiri bernama Ahmad, Ahmad Ibn Anas, Ahmad Ibn al-Mu’alla. Beliau meninggal dunia pada hari Isnin, tahun 242 hijrah.
Sumber: Utusan Malaysia. Rabu. 5/1/2011.
Write a comment
Catat Ulasan