ABU Al-Qasim Maslamah bin Ahmad (أبو القاسم مسلمة بن أحمد بن قاسم بن عبد الله المجريطي) atau Al-Majriti (المجريطي) diibarat ensiklopedia [الموسوعة] matematik, astronomi dan ilmu kimia [أحد علماء الرياضيات والكيمياء والفلك], kerana memiliki pengetahuan luas dan mendalam mengenai sumber maklumat bidang berkenaan. Beliau dilahirkan di Majrit - مجريط (Madrid) 338 Hijrah bersamaan 950 Masihi.1 Beliau juga terkenal sebagai ilmuwan Islam yang sangat cemerlang di Andalus (الأندلس). Hakikat itu diakui ilmuwan Barat yang mengagumi buku hasil tulisannya, terutama mengenai akaun perdagangan. Kepakarannya dalam teori bilangan dan angka menjadikan buku berkenaan rujukan seluruh dunia, selain hasil karangan mengenai perhitungan kejuruteraan.
Al-Majriti berbeza dengan ilmuwan lain kerana ketelitian serta ingatannya yang kuat. Beliau sering menekankan bahawa mereka yang dikhususkan dalam bidang analisis sains seperti kimia, juga perlu mempelajari ilmu matematik dan sains. Penghasilan air raksa [الزئبق] menunjukkan ketekunan dan ketelitian Al-Majriti apabila melakukan eksperimen yang akhirnya membawa kejayaan kepada kerjaya beliau. Eksperimen yang terkenal itu memperlihatkan bagaimana beliau menukarkan satu perempat tabung air raksa menjadi serbuk berwarna merah [أحمر ناعم الملمس], selepas diletak di atas api selama 40 hari [يسخن أربعين يومًا وليلة].
Sebagai ilmuwan yang teliti dalam kerjayanya, beliau sentiasa mendorong penyelidik untuk mengkaji bahan kimia melalui proses percubaan di makmal. Sebuah penulisan ilmiah Al-Majriti yang terkenal ialah mengenai astrolabe [الإسطرلاب], iaitu sebuah peralatan kuno untuk mengukur ketinggian bintang di langit. Ia adalah cakera yang dibuat daripada kayu atau logam mempunyai ukuran darjah di tepinya dan di tengahnya ada sebuah jarum penunjuk yang boleh bergerak. Beliau menulis dua buku dalam bidang kimia [الكيمياء] bertajuk Rutbah Al-Hakim [رتبة الحكيم في الكيمياء] dan Ghayah Al-Hakim [غاية الحكيم] yang menjadi rujukan ilmuwan Timur mahupun Barat hingga hari ini.
Menyedari pentingnya buku Ghayah Al-Hakim, Raja Alfonso [الملك ألفونسو] memerintahkan agar buku itu diterjemahkan ke dalam bahasa Latin [اللغة اللاتينية] pada 1252 Masihi. Buku lain karangan Al-Majriti ialah Thimar Al-Adad [ثمار العدد في الحساب] yang dikenali sebagai Al-Muamalat [المعاملات], Ikhtisar Ta’dil Al-Kawakib Min Zij Al-Battani [اختصار تعديل الكواكب من زيج البتاني], Rutbah Al-Hakim Fi Al-Kimiya [رتبة الحكيم في الكيمياء], Al-Ahjar [الأحجار], Rawdhah Al-Hada’iq wa Riyadh Al-Khala’iq [روضة الحدائق ورياض الخلائق] serta Risalah Al-Asturlab [رسالة في الأسطرلاب], merangkumi ilmu sejarah, tabii dan pengaruh alam sekitar terhadap kehidupan.
Al-Majriti mempunyai ramai murid yang berjaya dalam kehidupan, seperti Abu Al-Qasim Al-Ghirnati [أبو القاسم الغرناطي], seorang jurutera dan ilmuwan dalam bidang perubatan dan Abu Al-Hakam Al-Karmani [أبو الحكم عمرو بن أحمد بن علي الكرماني], seorang penduduk Cordova [قرطبة] yang sangat terkenal sebagai pakar bedah dan jurutera.
Sumber: Utusan Malaysia. 26/1/2011.
__________________
1. Lahir pada zaman pemerintahan Amir Mukminin Abdul Rahman III bin Muhammad (عبد الرحمن الثالث بن محمد) dari Dinasti Umayyah di Andalus. Meninggal pada 398H/1007M di Cordova pada waktu pemerintahan Amir Mukminin Hisyam bin Hakam (هشام بن الحكم).
Write a comment
Catat Ulasan