Abu Marwan Doktor Tersohor Di Andalusia

ABU Marwan bin Zuhr ialah seorang doktor tersohor di Andalusia [الأندلسي] dan terkemuka sepanjang masa di dunia. Nama sebenar beliau ialah Abu Marwan bin Abdul Mulk bin Abu Al-Ala’ Zuhr bin Muhammad bin Marwan bin Zuhr Al-Iyadi [أبو مروان عبد الملك بن أبي العلاء زهر بن زهر الإيادي]. Dia dipanggil dengan nama Al-Iyadi kerana nenek moyangnya berasal dari Kabilah Iyad [قبيلة إياد], sebuah kabilah Arab Adnaniyah [عرب عدنانية]. Di Eropah dia dikenali dengan nama Avenzoar.

Seorang orientalis Jerman, Carl Brockelmann [المستشرق الألماني كارل بروكلمان], menyebut Ibnu Zuhr dalam bukunya Tarikh Al-adab Al-Arabiyah [تاريخ الأدب العربية] dengan nama Abdul Mulk bin Abu Bakr bin Muhammad bin Marwan [عبد الملك بن أبو بكر بن محمد بن مروان]. Padahal sebenarnya ini adalah nama bapak Ibnu Zuhr.

Ibnu Zuhr berasal daripada keluarga yang kebanyakannya berkecimpung dalam bidang kedoktoran. Bapa, anak lelaki dan anak perempuannya bekerja sebagai doktor. Kedua-dua puterinya juga doktor pakar sakit puan. Keluarga besar Zuhr telah menetap di Syatibah [شاطبة], salah satu kota di Andalusia, sejak abad ke-10 Masihi. Antara abad ke-10 dan 13 Masihi terdapat enam orang keturunan keluarga besar Bani Zuhr yang menonjol dalam kedoktoran. Abu Marwan Zuhr dilahirkan di Kota Banjalur, Andalusia, pada tahun 464 H/ 1072 M. Sejarah kehidupannya lebih banyak dihabiskan di Seville [إشبيلية].

Pada awalnya dia mengabdikan diri kepada Al Murabithun [المرابطون] kemudian mengabdikan diri kepada Al Muwahhidin [الموحدون]. Beliau juga menjadi doktor peribadi kepada Sultan Al-Muwahhidin, Abu Muhammad Abbul Mukmin bin Ali. Ibnu Zuhr wafat di Kota Sevilla [إشبيلية] pada tahun 557 H/ 1162 M dalam usia lebih 90 tahun.

Segala hasil karya Ibnu Zuhr berbicara tentang ilmu kedoktoran, yang ditulis dengan gaya bahasa ilmiah yang sangat tinggi. Buku-bukunya dipenuhi oleh istilah-istilah ilmiah yang sangat tinggi dan luas yang menunjukkan keluasan dan kedalaman pengalaman ilmiahnya. Gaya bahasa yang dipakai oleh Ibnu Zuhr merupakan gaya bahasa yang membuat pembacanya merasa senang, kerana bukunya dihiasi dengan hal-hal yang bersahaja dengan komentar-komentar yang membuat orang ketawa.

Semua itu dia catitkan dalam bukunya berdasarkan pengalaman peribadi dalam dunia kedoktoran. Di antara karya-karya penting Ibnu Zuhr adalah:

(1) At Taisir Fi Al-Mudawalah Wa At-Tadbir [التيسير في المداواة والتدبير]. Di dalam buku ini ia mengupas secara terperinci buku Al-Qanun [القانون في الطب] karya Ibnu Sina [ابن سينا] dan Almilki [الملكي]1 karya Ali bin Abbas Al Majusi [علي بن عباس المجوسي].

Di dalam buku ini ia juga membicarakan tentang gejala-gejala penyakit dalaman dan masalah pembedahan. Ibnu Zuhr membahagi bukunya itu ke tiga bahagian. Setiap bahagian berisi beberapa kajian. Setiap kajian pula membahas beberapa penyakit yang menimpa salah satu bahagian dari organ tubuh atau bahagian tertentu dari tubuh. Buku itu ia tutup dengan suatu pembahasan yang dinamakan Aljami’ [الجامع], yang berisikan nama-nama atau alat-alat kedoktoran, bimbingan khusus tentang meracik ubat-ubatan, dan cara pemakaiannya. Buku tersebut merupakan karya Ibnu Zuhr yang paling popular dan telah diterjemahkan oleh Barafisiyius ke dalam bahasa Latin pada tahun 1490 M. Kemudian telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa Eropah lainnya.

 (2) At Taghdziah [التغذية]. Buku ini ditulis oleh Ibnu Zuhr atas perintah sultan Al Muwahhidi, iaitu Abu Muhammad Abdul Mukmin bin Ali [أبو محمد عبد المؤمن بن علي الكومي]. Dalam buku ini ia berbicara tentang makanan dan minuman dengan berbagai ragamnya, makan, tidur, mandi, olahraga, dan prinsip-prinsip kesihatan yang bersifat umum.

(3) Al Iqtishad Fi Ishlah Al-Anfus Wa Al-Ajsad [الإقتصاد في إصلاح النفس والأجساد]. Buku ini ditulis sebagai persembahan untuk sultan Al-Murabithun, iaitu Ibrahim bin Yusuf Ibnu Tasyfin [إبراهيم بن يوسف بن تشفين].

(4) At Ta’liq Fi Ath-Thib [التعليق في الطب]. Berisi nasihat-nasihat tentang ilmu kedoktoran. Manuskrip buku ini terdapat di perpustakaan Tesytir Beti [شستر بيتي] di Kota Dublin ibukota Republik Ireland [مدينة دبلن عاصمة جمهورية ايرلندا].

 (5) At Tiryaq As Sb’ini dan ringkasannya [الترياق السبعيني]. Buku ini ditulis untuk Sultan Muhammad Abdul Mukmin [السلطان محمد عبد المؤمن].

(6) At-Tadzkirah [التذكرة]. Memuat arahan, bimbingan dan panduan untuk anaknya dalam mempermudah aktiviti kedoktorannya. Buku ini sudah diterjemahkan dan dicetak dalam bahasa Perancis.

(7) Al-Jami [الجامع]. Berbicara tentang minuman dan ubat yang dipakai dalam menyembuhkan penyakit.

Ibnu Zuhr berpendapat bahawa terapi terbaik untuk mengubati organ tubuh yang sakit adalah dengan merendam bahagian yang sakit itu ke dalam air sejuk. Dia juga dikatakan membius pesakit dengan cara meletakan alat pembius di hidung dan di mulut pesakit ketika hendak dilakukan pembedahan.

Sumber: Utusan Malaysia. Selasa. 18/1/2011.

_________________
1. Nama kitab tersebut Kamilus Sina’ah al-Tibbiyatud Daruriyyah [كامل الصناعة الطبية الضرورية] tetapi lebih dikenali dengan al-Milki.

Write a comment