Jawatankuasa Fatwa MKI Bincang Isu Orang Bukan Islam Membaca Dan Menterjemahkan Ayat-Ayat Suci Al-Quran



Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah membincangkan isu orang bukan Islam membaca dan menterjemahkan ayat-ayat suci al-Quran dalam Muzakarah Khas yang telah diadakan pada 3 Disember 2010, jam 8.30 malam bertempat di Pan Pacific KLIA. Muzakarah Khas ini diadakan ekoran daripada tindakan beberapa orang ahli politik bukan Islam yang menyalahgunakan ayat-ayat suci al-Quran di dalam ceramah-ceramah politik yang diadakan. Muzakarah Khas yang dipengerusikan oleh Y.Bhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Abdul Shukor bin Hj. Husin dihadiri oleh Sahibus Samahah Mufti-mufti dan Timbalan-timbalan Mufti serta Ahli-ahli yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja. Turut hadir Y. Bhg. Dato’ Hj. Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM selaku Setiausaha Jawatankuasa Fatwa dan Tuan Hj. Othman bin Mustapha, Timbalan Ketua Pengarah Dasar JAKIM.

Muzakarah Khas yang diadakan ini telah meneliti rakaman siri-siri ucapan pemimpin bukan Islam yang membaca dan menghuraikan teks al-Quran yang digunakan serta pandangan dan hujah-hujah para ulama’ muktabar dalam isu ini dan berpandangan bahawa:

“Bahawa pada dasarnya bagi tujuan untuk mempelajari, memahami dan mendekatkan diri kepada ajaran Islam atau bagi tujuan untuk menjadikannya panduan hidup di dunia dan akhirat atau bagi tujuan dakwah, Islam tidak pernah menghalang mana-mana pihak termasuk bukan Islam untuk membaca dan mendalami teks-teks suci Islam termasuk al-Quran dan tafsirannya. Tetapi ia hendaklah dilakukan dengan jujur dan ikhlas bagi tujuan tersebut dan bukan untuk kepentingan dan tujuan tertentu/peribadi, apatah lagi jika ianya dilakukan dengan kesalahan samada pembacaan atau huraiannya yang menyimpang dari kehendak sebenar teks-teks tersebut kerana perbuatan seperti ini boleh mencemarkan kesucian al-Quran dan Islam serta sekaligus menimbulkan keraguan, keresahan dan fitnah kepada masyarakat.

Maka dalam situasi yang berlaku di akhir-akhir ini, berdasarkan realiti dan fakta, ahli-ahli muzakarah sebulat suara berpendapat bahawa tindakan pemimpin-pemimpin politik bukan Islam menggunakan teks suci Islam termasuk al-Quran secara sewenang-wenangnya dan tidak menepati maksud yang sebenar di ceramah-ceramah politik, tidak menunjukkan ciri-ciri keikhlasan yang sebenarnya bagi mempelajari Islam. Oleh itu, perbuatan yang sedemikian boleh mendatangkan penghinaan berterusan terhadap kesucian Islam khususnya al-Quran sekiranya dibiarkan.

Justeru, bersesuaian dengan kaedah Usul al-Fiqh Sadd az- Zarai’, Muzakarah bersetuju bahawa perbuatan orang-orang bukan Islam membaca dan menghuraikan teks-teks al-Quran sewenang-wenangnya mengikut fahaman sendiri dengan tidak menepati maksud yang sebenar di samping tidak terdapat unsur-unsur keikhlasan dan kejujuran adalah merupakan suatu penghinaan terhadap kesucian al-Quran dan boleh mendatangkan keraguan dan fitnah di dalam masyarakat. Oleh itu, ianya perlu dihentikan dengan segera. Muzakarah juga menasihatkan semua pihak supaya berhati-hati agar tidak menyalahgunakan ayat-ayat suci al-Quran demi meraih sokongan atau mendapatkan sesuatu kepentingan.”

Sumber: JAKIM

Write a comment