USIM anugerahi Abdul Shukor Profesor Ameritus







MANTAN Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, dianugerah Prof Ameritus dan disempurnakan Canselor USIM, Tuanku Ampuan Najihah Tunku Besar Burhanuddin, pada Majlis Konvokesyen USIM, baru-baru ini.


Anak kelahiran Jerantut Pahang itu adalah lulusan ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Akidah dan Falsafah Islam, Universiti al-Azhar al-Sharif, Mesir.


Pembicara tokoh anugerah berkenaan, berkata Abdul Shukor yang juga naib canselor pertama USIM, berjaya membangunkan kursus berteraskan pengajian Islam menerusi gabungan ilmu aqli dan naqli serta kemahiran teori dan amali.


Usaha murninya itu kata beliau, bermula dengan mewujudkan lapan fakulti, dua institut dan tiga pusat termasuk Pusat Tamhidi sepanjang menerajui universiti berkenaan.


Selepas menamatkan perkhidmatannya di USIM, katanya pengalaman dan khidmatnya tetap diperlukan termasuk menerajui Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) selain menjadi Pengerusi Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan.


Abdul Shukor kata pembicara itu lagi, turut dilantik sebagai Ahli Majlis Kebangsaan Islam, Jabatan Perdana Menteri, Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Ahli Lembaga Tabung Haji.


Seterusnya Ahli Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Pengerusi Panel Syariah Tabung Haji, Ahli Lembaga Penasihat Pensijilan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Pengerusi Lajnah Tashih (Lembaga Semakan Pakar Tafsir, Jakim).


Dalam bidang akademik, Abdul Shukor turut dilantik sebagai profesor pelawat, penilai luar kenaikan pangkat, profesor dan profesor madya di beberapa universiti tempatan dan antarabangsa.


Pengalaman luas beliau melayakkannya memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Akademi Fiqh Sedunia yang beribu pejabat di Arab Saudi sekali gus menjadi wakil Malaysia dalam badan terbabit.


Pernah dilantik menganggotai Jawatankuasa Pusat Pengajian Islam Sedunia, Abdul Shukor juga menjadi Timbalan Pengerusi Persatuan Intelek Islam Asean.


Biarpun sibuk dengan tugas dalam pelbagai jawatankuasa dan organisasi, tokoh berwibawa ini, tidak pernah melupakan bidang tujahan utamanya dalam penulisan dengan menerbitkan lebih 10 buku dan jurnal tempatan dan antarabangsa.


Penulisan terakhir beliau dalam bidang Akidah dan Falsafah Islam setebal 513 halaman diterbitkan USIM dan kertas kerja terbaru beliau bertajuk al-Ijtihad al-Jamai dibentangkan pada Muzakarah Ahli-ahli Fatwa Asean.


Sumber: Berita Harian. Rabu. 6/10/2010.

Write a comment