Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD
PENGGUNAAN teknologi pada hari ini dalam semua aspek kehidupan turut memberi kesan kepada penghasilan mushaf al-Quran. Jika dahulu al-Quran hanya ditulis dengan tangan sahaja, tetapi hari ini kitab suci itu dicetak dengan pelbagai bentuk dan hiasan yang menarik.
Al-Quran juga boleh didapati dalam bentuk cekera padat, rakaman suara, capaian dalam Internet, dimuat dalam telefon bimbit dan sebagainya. Namun pencapaian yang mengagumkan pada hari ini tidak akan dikecapi jika ulama terdahulu tidak mengambil berat tentang penulisan al-Quran, hafalan, pengajaran dan penyebarannya.
Perkembangan bacaan al-Quran dan sejarah pengajarannya di setiap generasi banyak ditulis dalam kitab-kitab berkaitan ulum al-Quran. Sejarah menunjukkan perkembangan al-Quran selepas Rasulullah meninggal dunia bermula dengan pengumpulan al-Quran pada zaman Khalifah Abu Bakar al-Siddiq r.a.
Semasa pemerintahan Khalifah Uthman Ibn Affan r.a pula berlaku peperangan di Arminiya dan Azrabaijan iaitu pada tahun 30 hijrah. Huzaifah Ibn al-Yaman mendapati banyak pertelingkahan bacaan al-Quran di kalangan tentera Islam. Lantas beliau mengesyorkan kepada Uthman melakukan sesuatu kepada al-Quran bagi mengelak umat Islam bertelingkah sebagaimana Yahudi dan Nasara. Uthman telah melantik satu jawatankuasa menulis al-Quran yang diketuai Zaid Ibn Thabit r.a dan anggotanya terdiri Abdullah Ibn al-Zubair, Said Ibn al-As dan Abdul Rahman Ibn al-Harith Ibn Hisyam.
Kaedah mereka menulis al-Quran adalah berpandu kepada suhuf yang ditulis pada zaman Abu Bakar al-Siddiq. Uthman juga memberi panduan dengan menyatakan jika berlaku perbezaan pendapat di kalangan penulis al-Quran bagaimana hendak menulis kalimah al-Quran maka tulislah mengikut lisan Quraisy kerana al-Quran diturun dengan lisannya. Selesai urusan menulis mushaf dan untuk diamal masyarakat Islam, Uthman telah mengambil beberapa langkah.
Pertama, menghantar mushaf dan seorang guru ke kota-kota Islam.
Kedua, mengarah membakar semua mushaf untuk mengelak berlaku khilaf.
Ketiga, mengarahkan tenaga pengajar berpegang hanya kepada mushaf yang ditulisnya sahaja.
Rukun pertama untuk menilai sesuatu qiraat diterima atau tidak mestilah menepati Rasm Uthmani.
Uthman telah menghantar mushaf yang siap ditulisnya ke beberapa kota Islam. Mengikut pendapat yang masyhur, beliau telah menghantar mushaf dan seorang guru ke Mekah, Damsyiq, Kufah, Basrah dan bersamanya di Madinah. Perlu diingat semasa al-Quran ini ditulis masih terdapat 12,000 sahabat dan mereka semua bersetuju dengan tindakan Uthman dalam penulisan mushaf dan penghantarannya ke kota Islam.
Rukun kedua adalah qiraat tersebut mestilah menepati bahasa arab. Dan rukun ketiga qiraat tersebut mestilah mempunyai sanad atau kesinambungan riwayatnya hingga sampai kepada Rasulullah SAW. Sebagai contoh Riwayat Hafs adalah bacaan al-Quran yang menepati mushaf Uthman. Riwayat itu juga menepati bahasa arab dan sanad riwayat tersebut bersambung sampai kepada Rasulullah. Di mana Hafs telah mempelajari al-Quran dari gurunya Imam Asim. Imam Asim pula mengambil bacaan ini dari gurunya yang bernama Abu Abdulrahman al-Sulami. Abu Abdulrahman al-Sulami pula mengambil daripada Ali Ibn Abi Talib dan beliau telah mengambil al-Quran daripada Rasulullah. Tiga rukun qiraat tersebut diguna oleh ulama untuk menilai qiraat sama ada ia adalah mutawatirah atau sebaliknya.
Tujuh qiraat iaitu Nafei, Ibn Kathir, Abu Amru, Ibn Amir, Asim, Imam Hamzah dan al-Kisai telah menepati tiga rukun qiraat. Selain itu, terdapat tiga qiraat lagi yang juga menepati tiga rukun qiraat iaitu Abu Jaafar, Yaakub dan Khalaf al-Asyir. Kesemua 10 qiraat yang dinyatakan adalah mutawatirah dan sah membacanya dalam sembahyang. Namun untuk membaca mana-mana qiraat ia memerlukan kepada talaqqi dan musyafahah dengan guru.
Kesimpulannya, tiga rukun qiraat telah digunakan ulama untuk menilai qiraat yang mutawatirah dan seterusnya menjaga kesahihan nas al-Quran terus terpelihara.
Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 22/10/2010.
Write a comment
Catat Ulasan