Perkembangan Ilmu Qiraat



Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

SETIAP ilmu mempunyai disiplin dan urutan mempelajarinya. Tidak kira sama ada ilmu berkaitan dunia atau ilmu agama. Susunan bab dan kandungan yang dibentuk untuk sesuatu ilmu adalah bagi memudahkan seseorang menguasai ilmu tersebut.

Jika mereka yang mempelajari ilmu tidak mengikut disiplin yang betul dan peringkat yang ditentukan, sudah tentu pemahaman terhadap ilmu menyimpang daripada landasan yang sahih.

Jika dilakukan sorotan kepada perkembangan ilmu qiraat, kita mendapati ia berkembang dengan baik bermula pada zaman Nabi SAW. Selepas baginda SAW, di setiap zaman dan tempat terdapat tokoh-tokoh qiraat yang menjadi rujukan. Selain itu mereka juga menghasilkan kitab-kitab yang tinggi nilai kandungannya dan sehingga ke hari ini menjadi sumber pembelajaran ilmu qiraat.


Menurut Dr. Fadl Hasan Abbas, konsep mempelajari ilmu qiraat tidak sama dengan ilmu balaghah, tatabahasa Arab dan lain-lain. Mungkin anda mampu memahami ilmu tersebut dengan ketekunan membaca dan mengulangkajinya. Berlainan dengan ilmu qiraat, jika anda ingin menguasainya anda mestilah membaca di hadapan guru bermula dengan surah al-Fatihah hinggalah ke surah terakhir iaitu al-Nas.

Membaca al-Quran di hadapan guru dipanggil talaqi atau musyafahah. Rasulullah SAW ialah orang pertama talaqi al-Quran daripada malaikat Jibril. Tradisi itu berkesinambungan hingga ke hari ini. Di Syria, Mesir dan Arab Saudi adalah antara tempat yang ramai guru-guru al-Quran dan masih mengamal kaedah talaqi. Sebaik sahaja pelajar menamatkan bacaan al-Quran iaitu khatam dan guru berpuas hati dengan bacaan tersebut, guru akan menganugerahkan sanad.

Ilmu Qiraat yang membicarakan tentang riwayat-riwayat bacaan al-Quran telah diberi nafas baru dengan diubahsuai kurikulumnya bagi penawaran di peringkat ijazah di pusat pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Pusat pengajian tinggi di luar negara yang menawarkan pengajian ini adalah di Maahad Qiraat Syubra, Fakulti al-Quran di Universiti al-Azhar cawangan Tanta, Kuliyyah al-Quran di Universiti Islam Madinah dan lain-lain.1

Dalam negara pula, antara pusat pengajian tinggi yang menawarkan pengajian ini ialah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia.2 Lebih menarik perkembangan Qiraat di Malaysia adalah adanya program realiti seni tarannum al-Quran iaitu Akademi al-Quran. Peserta diminta membaca al-Quran dengan seni lagu tertentu seperti bayyati, rast, nahawand, saba dan riwayat tertentu seperti Qalun, Warsy, al-Bazzi, Qunbul dan lain-lain.

Sebagai rujukan bersama sudah terdapat qari yang merakam al-Quran mengikut riwayat-riwayat al-Quran. Antara mereka ialah Syeikh Mahmud Khalil al-Husari yang telah merakam 30 juzuk al-Quran dengan riwayat Hafs dari Imam Asim, riwayat Warsy dari Imam Nafei'. Selain itu Imam Masjid Nabi Syeikh Dr. Ali AbdulRahman al-Huzaifi mempunyai rakaman 30 juzuk riwayat Qalun. Ramai lagi qari yang merakam bacaan al-Quran dengan riwayat yang berbeza dari riwayat yang kita amalkan iaitu riwayat Hafs dari Imam Asim.3

Namun untuk mempelajari ilmu qiraat mestilah mengikut disiplin yang tepat dan betul. Paling penting dapatkan guru yang mempunyai kemahiran dalam ilmu ini yang mampu memberi tunjuk ajar dan panduan.

Rakaman suara qari sebagaimana disebut adalah sebagai rujukan tambahan sahaja.

_______________________
1. Tambahan: Universiti Islam di Sudan juga membuka kuliah al-Quran dan Qiraat. Juga universiti-universiti di Jordan ada menambah subjek Qiraat dalam silibus mereka.

2. Selain itu maahad tahfiz di seluruh Malaysia ada subjek Qiraat dalam silibus pengajian tahfiz mereka.

3. Syeikh Mahmud Khalil al-Husari merakam 4 riwayat - Hafs ‘an ‘Asim, Qalun ‘an Nafie’, Warsy ‘an Nafie’ dan Duri ‘an Abu Amru. Syeikh Abdul Basit riwayat Hafs ‘an ‘Asim dan Warsy ‘an Nafie’.
Syeikh Abdul Rashid Ali Sufi riwayat Qalun, Warsy, Susi, Khalaf, Abu Harith, Duri Abu Amru, Duri Kisai, Syu’bah dan Hafs ‘an ‘Asim.

Sumber: Utusan Malaysia. Khamis. 14/10/2010.

Write a comment