Muhamad Nor Tokoh Qiraat


Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

Salah seorang tokoh yang memberi sumbangan besar kepada perkembangan ilmu Qiraat di Malaysia ialah Datuk Muhammad Nor Che Ibrahim. Beliau dilahirkan pada tahun 1905 dan meninggal pada tahun 1987. Pernah menjawat jawatan mufti negeri Kelantan antara tahun 1968 hingga 1987. Keilmuannya yang tinggi dalam bidang hafazan al-Quran dan yang berkaitan dengannya telah diberikan amanah oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj sebagai pengasas Maahad Tahfiz al-Quran di Masjid Negara iaitu antara tahun 1965 hingga 1968.

Berkat kesungguhan dan kesabarannya mendidik generasi pertama di Malaysia menghafaz al-Quran maka lahirlah tokoh-tokoh al-Quran seperti Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz1, Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Mohamad al-Hafiz, Datuk Salahuddin Omar al-Hafiz, Muhsin Mohd. Said al-Hafiz, Zainal Abidin Ahmad al-Hafiz2 dan lain-lain. Mereka inilah yang memberi sumbangan besar kepada perkembangan tahfiz al-Quran dan Ilmu Qiraat di Malaysia.

Muhammad Nor menghafaz al-Quran di Mekah. Menurut Syaikh Ismail Mohamad, antara guru Muhammad Nor di Mekah ialah Tok Senggora3 yang terkenal dengan karanganya dalam ilmu tajwid yang bertajuk Mawrid al-Zam’an.

“Allahyarham seorang guru yang tegas, keras tetapi baik. Alhamdulillah, kami dapat belajar dengan beliau selama dua setangah tahun dan menghabiskan al-Quran 30 juzuk.

“Seperkara mengenai Allahyarham ialah sungguhpun bertubuh kecil tetapi gerun melihatnya. Memang saya akui sukar untuk dicari ganti orang seperti beliau ditambah pula, beliau fasih berbahasa Arab, Inggeris, apa lagi bahasa Melayu.

“Beliau juga seorang yang alim, warak, Kalau nak cari seperti ini memang sukarlah sekarang ini,” kata Syaikh Ismail yang menganggap Allahyarham seperti bapanya sendiri.

Sementara itu, Prof. Dr Abdullah Alwi Hasan dalam artikelnya 'Datuk Hj Muhammad Nor bin Hj Che Ibrahim’, Muhammad Nor mendapat ijazah al-Quran dan juga Tujuh Qiraat daripada 20 qari tersohor di Mekah. Antara mereka ialah Sheikh Tiji. Jika dilakukan penelitian sanad al-Quran Muhammad Nor ia merupakan sanad yang tinggi. Salasilah hubungan gurunya iaitu Sheikh Tiji hingga kepada Rasulullah SAW adalah sanad yang masyhur di tanah arab sama ada di Mesir, Syria atau Arab Saudi.

Nama penuh Sheikh Tiji ialah Sayyid Ahmad Ibn Hamid Ibn Abdul Razzaq al-Husaini al-Tiji al-Ridi4. Beliau lahir pada tahun 1285 hijrah di kampung Ridah5, Mesir dan meninggal dunia di Mekah pada tahun 1368 hijrah. Beliau menghafaz al-Quran dan menerima ilmu qiraat dari beberapa guru antaranya Sheikh Ali Dabba’6 iaitu Sheikh Qurra di Mesir. Sheikh Tiji amat dikenali di kalangan ulama Mekah dan Madinah. Ramai di kalangan mereka yang menjadi muridnya antaranya ialah Sheikh Muhamad Amin al-Kutbi, Sheikh Ahmad Abdullah al-Hijazi. Sheikh Tiji menjadi rujukan dalam ilmu qiraat sehingga digelar Sheikh Qurra Mekah atau Sheikh Qurra Hijaz. Sumbangan besar beliau kepada al-Quran selain pengajaran ialah menjadi pentashih al-Quran bersama-sama Sheikh Abdul Zahir Abu al-Samh imam dan Khatib Masjid al-Haram Mekah dan Sayyid Muhammad Ahmad Syata. Al-Quran yang ditulis oleh Sheikh Muhamad Tahir al-Kurdi itu ditulis mengikut kaedah Rasm Uthmani. Hasil semakan lujnah pentashih tersebut menjadi kenyataan apabila mushaf berkenaan dicetak buat pertama kalinya di Arab Saudi pada tahun 1369 hijrah. Dan nama Sheikh Tiji bersama pentashih lain terdapat di akhir helaian mushaf yang dipanggil Mushaf Makkah al-Mukarramah.

Berbalik kepada Muhammad Nor, setelah menabur jasa kepada generasi pertama penghafal al-Quran di Masjid Negara, beliau balik ke negerinya Kelantan dan memberi sumbangan dalam pengajaran al-Quran. Beliau diamanahkan mengasas kelas tahfiz al-Quran dan Tafaqquh fi al-Din di Masjid Muhamadi iaitu di antara tahun 1970 hingga 1974. Selain meninggalkan murid yang berkaliber dalam ilmu al-Quran dan syariah, beliau juga meninggalkan penulisan yang terus menjadi rujukan umat Islam di negara kita pada hari ini seperti Tafsir Pimpinan Rahman dan Mastika Hadith. Kedua-duanya terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Dalam bidang qiraat, karanganya ialah berkaitan kaedah bacaan riwayat Warsy dari Qiraat Nafei Ibn Abi Nuaim. Walaupun sudah terdapat penulisan disertasi berkaitan Muhammad Nor, artikel yang diterbit di jurnal Universiti Sains Islam Malaysia dan wacana berkaitan pandangannya dalam ilmu fiqh diadakan. Namun aspek sanadnya dalam al-Quran dan qiraat dari sudut terjemahan guru-gurunya hingga ke Rasulullah SAW perlu dikaji dengan lebih mendalam dan teliti.

Sumber: Utusan Malaysia. Khamis. 28/10/2010.
__________________________________________________________
1. Bekas Penasihat Agama Istana Negara dan sekarang menjadi pendakwah bebas dan penulis buku agama. Adik kepada Dr. Haron Din - Timbalan Musyidul Am PAS.

2. Mantan Timbalan Mufti Terengganu dimasa kerajaan PAS memerintah. Pernah mengajar di Sekolah Agama Tok Jiring dan Syeikh Abdul Malik di Kuala Terengganu, mantan YDP Darus Syifa Terengganu dan jurunikah di mukim Bkt Payong.

3. Songkla dalam loghat Siam.

4. Sayyid Ahmad Ibn Hamid Ibn Abdul Razzaq al-Husaini al-Tiji al-Ridi (السيد أحمد بن حامد بن عشري بن عبد الرزاق بن حسين بن عشري بن أحمد بن عبد الباري الحسيني التيجي الريدي ), 1285-1368H. Sanad keluarganya bersambung ke Saidina Husain bin Ali r.h dari sadah Rasulullah SAW.

5. Ridah (ريده).

6. Sheikh Ali Dabba’ (علي الضباع) pengarang buku Samir Talibin fi Rasm wa Dhabt al-Quran dan beberapa buku lain lagi berkaitan ilmu Quran.

Write a comment