Saya tidak pasti dari mana dalil mengatakan ayat Quran ialah 6,666 ayat. Sehinggakan bila kita cuba membetulkan pun mereka berdalih mengatakan itu adalah bilangan sir memang tak nampak dari bilangan zahir. Suka saya memberitahu bahawa bilangan sir atau hukum sir tidak boleh dijadikan pegangan umum, ia hanya tertakluk kepada individu sahaja. Kalaulah pegangan yang dikatakan sir itu dijadikan pegangan umum maka pincanglah hukum yang telah tersedia ada.
Suatu ketika dahulu pegangan 6,666 ayat adalah suatu yang tabu hatta lepasan Timur Tengah pun blur dengan bilangan sebenar. Mujurlah 10 tahun kebelakangan ini jawapan yang sebenar dapat diperbetulkan, itu pun dengan lahirnya ratusan lepasan Shoubra yang bertungkus-lumus menyebarkan ilmu al-Quran walau setengah golongan memperlekeh lepasan Shoubra. Shoubra caiyok!
Apa pun sebagai jalan tengah saya berpendapat barangkali ada cedokan sumber lama yang menyebut 6,666 cuma saja kita belum berjumpa kerana selain rujukan utama yang saya ambil di sana masih ada beberapa kitab lama yang pengiraannya berlainan sekali dengan sumber dari Imam Syaṭibī namun kitab itu tiada dalam simpanan. Barangkali dari situlah timbulnya pendapat 6,666 ayat. Sementara dalil yang lebih tepat telah ada depan kita maka eloklah dipegang yang baru ini.
Baiklah, di bawah ini saya bentangkan pendapat bilangan keseluruhan ayat al-Quran:
1) Madanī Awwal [المدني الأول] : Terbahagi kepada dua pendapat iaitu; 6,217 ayat dan 6,214 ayat.
2) Madanī Thānī [المدني الثاني] atau disebut dengan panggilan Madani Akhir [المدني الأخير] : 6,214 ayat.
3) Makkī [المكي] : 6,210 ayat.
4) Syāmī [الشامي] atau disebut dengan panggilan Dimasyqī [الدمشقي] : Terbahagi kepada dua pendapat iaitu; 6,227 ayat dan 6,226 ayat.
5) Ḥimsī [الحمصي] : 6,232 ayat.
6) Kūfī [الكوفي] : Terbahagi kepada dua pendapat iaitu; 6,236 ayat dan 6,217 ayat.
7) Baṣrī [البصري] : 6,204 ayat.
Di dalam Mashaf Madinah Munawarah di muka surat belakang ada dinyatakan bilangan ayat yang diguna pakai oleh mereka.
Contoh Pengiraan.
Mari kita lihat di dalam surah al-Fatihah:
ناظمة الزهر:
وأم القرآن الكل سبعا يعدها * ولكن عليهم أولا يسقط المثر
ويعتاض بسم الله والمستقيم قل * لكل وما عدوا الذين على ذكر
الفرائد الحسان:
والكوف مع مك يعد البسملة * سواهما أولى عليهم عد له
Surah al-Fatihah para ulama sepakat 7 ayat cuma berlaku khilaf pada kepala ayat iaitu:
1) Kufi dan Makki mengira ayat 1 pada بسم الله الرحمن الرحيم.
2) Kufi dan Makki tidak wakaf pada صراط الذين أنعمت عليهم.
Contoh yang lain dalam surah al-Anbiya’:
ناظمة الزهر:
وفي الأنبياء قل أصل يسر وآية * يضركم الكوفي زاد بلا ضر
بل أكثرهم لا يعلمون ويشفعو * ن دع عد إبراهيم لا أول الشطر
Ulama Kufi mengira bilangan ayat dalam surah al-Anbiya’ sebanyak 112 dan ulama selainnya mengira 111 ayat.
Khilaf terjadi pada ayat 66:
قَالَ أَفَتَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لا يَنْفَعُكُمْ شَيْئًا وَلا يَضُرُّكُمْ (٦٦) أُفٍّ لَكُمْ وَلِمَا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَفَلا تَعْقِلُونَ (٦٧)
Ulama Kufi wakaf pada ayat ولا يضركم. Ulama selainnya tidak wakaf pada ayat tersebut.
Untuk melihat perbezaan dengan jadual yang lebih ringkas, sila rujuk kitab Dirāsāt fī ‘ilm Fawāsil oleh Ḥamdī ‘Izzat ‘Abd Ḥāfiẓ (دراسات في علم الفواصل: حمدي عزت عبد الحافظ).
Dari contoh di atas diharapkan fahamlah kita akan bagaimana terjadinya kekhilafan pendapat bilangan ayat al-Quran. Semua ini menurut sanad yang sahih lagi mutawatir yang dikemaskan oleh para ulama kita dalam bentuk matan supaya mudah dipelajari dan dihafal. Dan inilah keramat terbesar dari keramat-keramat lain seperti dapat berjalan atas air dan sebagainya kerana dengan ilmu ini seluruh umat Islam mendapat manfaat sepanjang zaman, dapat memahami al-Quran. Adapun berjalan atas air itu hanyalah tertakluk pada diri seorang sahaja, tiada dapat dimanfaati oleh orang ramai. Maka janganlah memperlekeh orang yang belajar ilmu kulit, walau kulit ia dapat memberi faedah kepada orang ramai.
Sumber:
1. al-Syāṭibī. Nāẓimah al-Ẓuhrī fī ‘ilm al-Fawāsil (ناظمة الزهر في علم الفواصل).
2. al-Qāḍī, ‘Abd Fattāh. Syarḥ al-Farā’id al-Ḥisān fī ‘add ayy al-Qur’an (شرح الفرائد الحسان في عد آي القرآن).
Write a comment
Catat Ulasan