Kelas Al-Quran Di Penjara Lahirkan Ramai Huffaz

TAPAH | Inisiatif Jabatan Penjara Malaysia mewajibkan banduan Islam mengikuti kelas tahfiz al-Quran berjaya melahirkan ramai huffaz dalam kalangan penghuni penjara.

Timbalan Komisioner Jeneral (Keselamatan dan Koreksional) Datuk Alzafry Mohamed Al Nassif Mohamed Adahan berkata menerusi kelas tahfiz yang dimulakan secara berperingkat sejak 2010 itu, ramai penghuni penjara berpeluang mengenal dan membaca al-Quran seterusnya mengamalkan dalam kehidupan seharian.

“Majoriti banduan yang pertama kali masuk penjara tidak pandai membaca al-Quran dan Alhamdulillah, dengan inisiatif ini mereka dapat mengenali huruf dan boleh membaca al-Quran dengan lancar, sekali gus memperteguhkan rohani serta jasmani.

“Kita dapati golongan yang jenis selalu berulang-alik masuk penjara telah berkurangan. Kita yakin mereka telah sedar dan harap berkekalan berubah ke arah kebaikan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Perujian Hafazan al-Quran kali ke-9 dan Pertandingan Nasyid kali ke-11 peringkat penghuni penjara kebangsaan di Penjara Tapah yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri Perak Datuk Mohd Nizar Zakaria di sini, hari ini.
​​​​​​​
Seramai 156 individu membabitkan 91 hafazan al-Quran dan 25 kumpulan nasyid dari 28 institusi penjara seluruh negara terlibat dalam aktiviti yang berlangsung selama tiga hari sejak Selasa lalu yang menyaksikan wakil Sekolah Henry Gurney Teluk Mas, Melaka muncul johan keseluruhan.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Agama Penjara Malaysia merangkap pengerusi jawatankuasa induk program, Timbalan Komisioner Ariffin Mohd Noor berkata kaedah keberkesanannya adalah menerusi pengenalan modul 3T iaitu Talaqqi, Tadarus dan Tahfiz.

Katanya program 3T meliputi kaedah pembelajaran peringkat asas (talaqqi), peringkat pertengahan kepada pelajar yang sudah boleh membaca al-Quran (tadarrus) dan peringkat lanjutan bagi yang sudah membaca dengan lancar dan berminat menghafaz al-Quran (tahfiz).

Ditanya mengenai kekurangan tenaga guru agama di dalam penjara, Ariffin berkata pihaknya mengatasi masalah tersebut dengan pertolongan kakitangan yang mempunyai ilmu agama untuk mengajar penghuni penjara.

Sumber: Mynewshub

Write a comment