Bangunan Tahfiz Tergadai Kerana Forex

KUALA LUMPUR | Kerana mahu menambah pendapatan bagi menguruskan pusat tahfiz, seorang pengetua yang bergelar ustaz sanggup meminjam wang daripada Ah Long dan mengadaikan dua buah bangunan tahfiz yang diwakafkan untuk asrama pelajar di Ipoh, Perak.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, mangsa yang berusia dalam lingkungan 40 an itu ‘termakan’ nasihat daripada kenalannya untuk membuat pelaburan forex dengan meminjam wang daripada Ah Long.

Menurutnya, yakin kononnya pelaburan forex akan membawa keuntungan, pengetua tersebut meminjam wang sebanyak RM200,000 dan mencagarkan dua buah bangunan tahfiz kepada Ah Long.

Jelasnya, pelaburan tersebut tidak mendatangkan hasil dan pengetua tersebut terpaksa ‘berputih mata’ apabila bangunan tahfiz yang mula beroperasi kira-kira empat tahun lalu dengan menempatkan kira-kira 80 pelajar tergadai.

“Sedar akan kesilapan yang dilakukan, Ustaz tersebut memohon bantuan PPIM, hasil siasatan mendapati jumlah hutang termasuk pelbagai caj (faedah, penalti dan lain-lain) telah meningkat kepada RM600,000.

“Setelah perancangan teliti dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ah Long yang berkenaan ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, pihak Ah Long mahu mangsa menyelesaikan jumlah pinjaman tidak termasuk bunga tetapi mangsa tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayarnya sehinggakan bangunan tersebut tergadai.

Nadzim berkata, kes tersebut berlaku tahun lalu dan kini pihaknya masih tidak mendapat sebarang maklum balas daripada mangsa mengenai nasib tahfiz berkenaan.

Jelasnya, ramai mangsa Ah Long terjerat kerana menyangkakan mereka mampu berurusan secara sendiri dengan peminjam wang itu tanpa sebarang masalah yang akhirnya jangkaan tersebut nyata meleset.

“Sekiranya anda atau kenalan mempunyai masalah berkaitan Ah Long, kami nasihatkan anda untuk segera melaporkan aduan kepada Unit Banteras Ceti Haram PPIM bagi mendapatkan bantuan.

“Untuk makluman semua, Ah Long menggunakan pelbagai taktik licik dan zalim untuk memerangkap mangsanya. Bunga yang tidak masuk akal serta ugutan menyebabkan mereka yang meminjam dari Ah Long akhirnya menjadi hamba Ah Long untuk selama-lamanya,” katanya yang sering berhadapan dengan kes yang sama.

Orang ramai boleh menghubungi Unit Banteras Ceti Haram PPIM ditalian 013-3071 999 atau 019-3458 444 jika mempunyai masalah berkaitan dengan Ah Long.

Nadzim dengan tegas turut menasihatkan orang ramai agar jangan sesekali meminjam daripada Ah Long.

Sumber: Mynewshub

Write a comment