Niat murni Mustafa

Alor Gajah | Kemakmuran negara ini menyebabkan semakin ramai dalam kalangan imam berasal dari Timur Tengah memilih Malaysia sebagai tempat untuk menyampaikan dakwah, sekali gus terus menyemarakkan lagi penyebaran agama Islam.

Malah, dengan bantuan peralatan dan gajet canggih pada masa kini menyebabkan masalah bahasa bukan lagi satu halangan besar dalam kalangan pendakwah untuk berkongsi ilmu agama Islam dan al-Quran.

Begitu juga dengan Mustafa Kamel Mursi, 39, graduan Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang Ijazah Tahfiz al-Quran yang datang ke Malaysia semata-mata mahu mengajar al-Quran secara percuma kepada masyarakat Islam di sini.

Beliau yang berasal dari Kaherah memberitahu ilmu al-Quran dimiliki diajar kepada semua lapisan masyarakat dengan niat mahu menyebarkan agama Allah seterusnya memastikan umat Islam celik al-Quran.

Beliau berkata, sepanjang dua tahun mengajar di Anglo World Collage, Kuala Lumpur yang dimiliki warga Syria, dia membantu ramai umat Islam di negara ini mendalami al-Quran.

“Sepanjang berdakwah di luar Mesir, memang banyak cabaran saya hadapi khasnya membabitkan komunikasi kerana saya langsung tidak tahu bertutur dalam bahasa Inggeris dan Melayu.

“Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab bagi masyarakat di Timur Tengah kami tidak ada masalah mendalami kitab suci ini, tetapi bagi negara lain yang bertutur dalam bahasa berbeza pasti ia menyukarkan mereka,” katanya, ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Mustafa Kamel berkata, dia datang ke Malaysia selepas mendapat jemputan daripada seorang mufti di negara ini dan mula berdakwah ke seluruh pelosok negara termasuk hingga ke Sabah.

Sepanjang Ramadan ini, dia turut mengelilingi Malaysia kerana menerima jemputan mengimamkan solat sunat Tarawih berjemaah termasuk di Melaka.

“Sebuah negara yang aman dan pastinya mempunyai ketua negara yang tegas serta mempunyai budi pekerti baik, jadi saya lihat Malaysia mempunyai pemimpin sedemikian,” katanya.

Menurutnya, dia juga bakal membuka sebuah pusat tahfiz al-Quran antarabangsa di Kuala Lumpur yang dijangka memulakan operasinya menjelang tahun hadapan tanpa mengenakan sebarang bayaran.

“Kami akan buka penyertaan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur, jantina, bangsa kerana apa yang mustahak niat mengembangkan Islam,” katanya.

Sumber | HarianMetro

Write a comment