Ahmad Tarmizi
Abd Rahman dan Nor Jannah Abd Rahman masing-masing dari Kuala Nerus muncul
johan qari dan qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu Tahun
1437H/2016M.
Kemenangan itu
membolehkan johan bagi kedua-dua kategori berkenaan membawa pulang wang tunai
RM8,000 berserta sijil penyertaan, piala pusingan dan juga piala iringan
sekaligus mewakili Terengganu ke peringkat kebangsaan.
Naib johan qari
pula dimenangi oleh Abdul Hadi Che Abdul Halim dari Dungun dan tempat ketiga,
Abdul ‘Alim Zakaria dari Kuala Nerus, manakala tempat kedua qariah pula milik
Nasirah Ibrahim (Hulu Terengganu) diikuti tempat ketiga Nor Asiah@Norasid Ali
(Dungun).
Hadiah bagi
pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM6,000 dan RM5,000
berserta sijil penyertaan dan piala
iringan.
Sultan
Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah kepada para
pemenang pertandingan tersebut.
Pada majlis itu,
Sultan Mizan menyeru agar semua rakyat memastikan agar sebarang cubaan untuk
menggugat keutuhan agama Islam di Terengganu dapat dihalang dan ditangani.
Baginda dalam
titahnya melahirkan rasa kebimbangan terhadap ancaman kepada kesucian dan
kedaulatan agama Islam pada masa kini.
Katanya, umat
Islam telah diserang dari pelbagai sudut, sama ada secara tersirat, dalaman
atau luaran, yang mana ianya bertujuan untuk meruntuhkan perpaduan dan kesucian
agama Islam.
“Oleh itu, bagi
memartabatkan agama Islam di Terengganu Darul Iman ini, seluruh umat Islam
hendaklah berpegang teguh dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jama’ah sama ada dari
aspek akidah, syariah dan tasawwuf.
“Pegangan ahli
Sunnah Wal Jama’ah sahajalah yang benar dan telah terbukti sebagai manhaj
wasatiyyah yang berjaya menjaga akidah umat Islam daripada terjebak dengan
pelbagai aliran atau ideologi menyeleweng seperti Syiah, ajaran sesat,
liberialisme, pluralisme agama dan sebagainya,” katanya.
Baginda dalam
titahnya turut menyeru agar rakyat di Terengganu bersatu padu tanpa mengira
rupa bangsa dan anutan.
“Melalui
perpaduan akan terlahirlah kedamaian dan segala perancangan serta usaha pihak
kerajaan akan dapat dilaksanakan dengan penuh berkat demi untuk kebaikan umat
Islam.
“Sekiranya
perpaduan menjadi rapuh dan ruh ukhuwah menjadi longgar maka sudah tentu ia
akan menjurus umat Islam ke jurang kelemahan,” katanya.
Sultan
Terengganu bertitah dalam Majlis Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri
Terengganu Tahun 1437H/2016M di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus. Turut
berkenan berangkat, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.
Mengiringi
baginda berdua, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, To’
Puan Halina Zakaria; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda yang juga
merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran
Peringkat Negeri 2016.
Sumber: Teganukita
Sumber: Teganukita
Write a comment
Catat Ulasan