Kuala Lumpur | Hanya kerana
isterinya tidak membenarkannya berkahwin lain, seorang lelaki tergamak
menghentak kepala mangsa dengan senaskhah al-Quran dan papan rehal di rumah
mereka di Cheras, kelmarin.
Dalam kejadian jam 8 malam
itu, mangsa berusia 48 tahun yang baru selesai solat Maghrib terkejut apabila
didatangi suaminya yang terus menampar mangsa dan menumbuk mukanya beberapa
kali.
Menurut sumber, sebelum itu
jam 4 petang hari sama lelaki itu yang berusia 46 tahun memberitahu
keinginannya berkahwin lagi, namun isterinya tidak memberi kebenaran.
“Mungkin marah dengan
tindakan isterinya, suspek tiba-tiba pulang ke rumah dan terus bertindak ganas
dengan menendang mangsa yang ketika itu masih memakai telekung.
“Suspek kemudian mengambil
senaskhah al-Quran yang berada berhampiran mangsa dan menghentaknya ke kepala
mangsa beberapa kali. Tidak cukup dengan itu, dia turut mengambil papan rehal
dan menghentak ke kepala mangsa,” katanya.
Sumber itu berkata, akibat
kejadian itu mangsa lebam di muka dan badan tampil membuat laporan di Balai
Polis Sungai Besi untuk tindakan selanjutnya.
“Difahamkan mangsa bukan kali
pertama dibelasah suaminya sebaliknya jika berlaku perselisihan faham antara
mereka, suspek bertindak ganas dan menyerang isterinya itu,” katanya.
Sementara itu, pendakwah
bebas Wan Akashah Wan Abdul Hamid menyifatkan tindakan lelaki terbabit sebagai
satu penghinaan kepada al-Quran, selain penganiayaan kepada isterinya.
“Sudahlah memukul isteri itu
haram, ini dengan menggunakan al-Quran pula. Sudah tentu ia tindakan salah
kerana al-Quran adalah kitab suci yang wajib dimuliakan,” katanya.
Beliau berkata, suami
sewajarnya menghargai isteri kerana menguruskan rumah tangga dan sebagainya,
bukan dipukul sesuka hati, apatah lagi baru selesai solat.
“Kita kena ingat, orang yang
mulia adalah mereka yang memuliakan wanita, manakala orang yang hina adalah
mereka yang menghina wanita. Memukul menggunakan al-Quran bererti tidak
menghormati kesuciannya al-Quran itu sendiri akan melaknatnya nanti,” katanya.
Sumber: HMetro
Write a comment
Catat Ulasan