Kuala
Terengganu | Kegembiraan seorang pelajar tingkatan dua khatam al-Quran kelmarin
tidak berpanjangan apabila dia meninggal dunia akibat lemas dalam kejadian di
Kampung Kesom Che Nordin, di sini, hari ini.
Dalam kejadian
jam 10.30 pagi itu Mangsa Nurrashidah Baharuddin, 14, tergelincir ke dalam
sungai ketika berjalan bersama kakak dan adik lelakinya di alur sungai di
kampung terbabit.
Mangsa yang cuba
diselamatkan dua saudara kandungnya namun gagal selepas kedua-duanya juga
hampir lemas di dalam alur sungai sedalam tiga meter itu.
Menurut bapa
mangsa, Baharuddin Abdullah, 40, anak keduanya itu ditemui kira-kira 12.40
tengah hari oleh orang kampung dan anggota bomba yang tiba tidak lama selepas
kejadian berlaku.
Katanya, ketika
kejadian, dia berada di rumah dan bergegas ke sungai terbabit selepas
dimaklumkan penduduk kampung mengenai kejadian malang itu
"Saya cari
anak di sekitar sungai tapi tak jumpa dan lebih sejam kemudian barulah dia
ditemui di dasar sungai.
"Sebak hati
melihat keadaan anak terbujur kaku dan pucat diangkat anggota bomba yang
menjalankan operasi dan menyelamat ketika itu.
"Semalam
saya cukup gembira kerana dia berjaya menamatkan pengajian al-Quran namun hari
ini kegembiran itu lenyap," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di
rumahnya, petang tadi.
Sementara itu,
Ketua Operasi Penolong Bomba Kanan ll Syukri Zahari berkata, pihak menerima
panggilan jam 10.52 pagi dan tiba di lokasi kejadian dengan 22 anggota dari
Balai Bomba Kuala Berang, Hulu Terengganu termasuk polis dan Jabatan Pertahan
Awam (JPAM).
"Mayat
mangsa ditemui anggota bomba dan orang awam di dasar sungai kira-kira tiga
meter dari lokasinya terjatuh sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan
selanjutnya," katanya.
Sumber: HMetro
Write a comment
Catat Ulasan