Guna Teknik Visual


Mengkaji berpandukan kelemahan pelajar dalam mempelajari al-Quran, Pusat Pembelajaran al-Quran Ajami memperkenalkan kaedah Ajami dengan menyediakan pembelajaran mudah bagi umat Islam menguasai al-Quran.

Menggunakan gabungan tiga konsep mudah, kaedah yang direka dengan memfokuskan kepada golongan yang sukar menguasai al-Quran dan juga golongan yang baru mengenali Islam itu diyakini mampu melatih pelajar dengan hanya 16 kelas pembelajaran.

Pengasasnya, Ahmad Mohammad Syakirin berkata, mengimplikasi teknik fokus, visual dan tindak balas, kaedah Ajami melatih pelajar untuk mentafsir maklumat yang dipelajari untuk dikaitkan dengan huruf dan bacaan di dalam al-Quran.

“Berdasarkan pengalaman bertugas lebih empat tahun mengadakan kelas pembelajaran al-Quran kepada pelbagai lapisan masyarakat, mendorong saya untuk menghasilkan sebuah kaedah mudah yang boleh diterima oleh pelajar.

“Pembelajaran dimulakan dengan melatih pelajar teknik fokus iaitu mengenal huruf dan penggunaan sebutan dengan tepat. Teknik visual digunakan untuk membantu memudahkan pelajar mengingati huruf dan sebutan huruf.

“Ia adalah dengan mengaplikasikan unsur seni dan juga objek sekeliling yang menyerupai huruf bagi menggambarkan huruf dan sebutan agar mudah difahami. Dengan kaedah ini merangsang minda pelajar untuk berfikir dan lebih cepat menerima ilmu yang dipelajari," katanya.

Sebagai contoh tambahnya, huruf ba yang divisualkan dengan rupa sampan bukan sahaja membantu pelajar mengingati huruf tersebut, malah dapat menulis dengan baik.

Manakala Mohammad berkata, seterusnya teknik tindak balas digunakan iaitu bagi menguji minda pelajar menggunakan latihan praktikal dan juga alat bantuan belajar berbentuk permainan dalam menjadikan pembelajaran yang menyeronokkan.

“Menggunakan kaedah Ajami juga kita menekankan konsep belajar daripada kesalahan. Menerusi latihan dengan permainan kad huruf jawi yang disediakan kepada semua pelajar, mereka seolah-olah dalam pertandingan.

“Pelajar diminta untuk meneka huruf serta sebutan kad yang diperoleh. Dengan cara ini mereka akan membuat telahan sendiri terhadap huruf tersebut, dan jika salah akan diperbetulkan, dalam masa sama dapat menambah pengetahuan pelajar lain juga," jelasnya.

Santai dan fleksibel


Mula diperkenalkan pada Disember tahun lalu, kaedah Ajami kini telah mempunyai lima cawangan di seluruh negara dan juga digunapakai dalam pembelajaran al-Quran di pusat pengajian al-Quran jabatan agama Islam negeri.

Menyediakan kelas berkonsep santai dan fleksibel, kelas yang terbuka kepada pengajian kanak-kanak dan dewasa itu membolehkan pelajar yang sibuk dengan tugasan semasa menetapkan jadual sendiri.

“Langkah ini dilakukan bagi memberi peluang kepada seluruh umat Islam yang ingin mempelajari al-Quran agar tidak ketinggalan kerana kesibukan harian. Pelajar juga tidak perlu malu untuk belajar kerana kita mengasingkan pelajar antara kanak-kanak dan dewasa," katanya.

Dalam pada itu, Mohammad berkata, bukan bertujuan untuk bersaing, pengenalan kaedah Ajami merupakan alternatif kepada umat Islam untuk mempelajari al-Quran menerusi kaedah yang mudah dengan penerimaan masing-masing.

“Walaupun telah banyak kaedah pembelajaran mudah dan pantas yang diperkenalkan, kewujudan kaedah Ajami ini bukanlah bertujuan bersaing dengan kaedah yang sedia ada dan yang lebih lama diperkenalkan di negara ini.

“Sebaliknya ia adalah bagi melengkapi dan mempelbagai kaedah pembelajaran al-Quran dalam usaha memperkasa umat Islam di negara ini agar memartabatkan pengajian al-Quran di negara ini," ujarnya.

Sementara itu, Pengajar al-Quran Mubaligh, Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI), Syafeeka Jaafar berkata, kaedah Ajami membantu memudahkan tugasnya untuk mengajar al-Quran kepada golongan mualaf yang baru ingin mengenali al-Quran.

Ia katanya, menerusi kaedah visual yang digunakan mampu memudahkan pelajar mengingat huruf dan sebutan Jawi walaupun pada kelas yang pertama.

“Setelah menggunakan beberapa kaedah sebelum ini, kaedah Ajami dilihat memberikan maklum balas yang positif terhadap pelajar. Menggunakan teknik visual dan juga bacaan berlagu menjadikan pembelajaran lebih mudah dan pantas untuk diterima.

“Bukan sahaja mengenali huruf, pelajar dalam masa sama dapat menulis huruf al-Quran dalam pembelajaran pertama," katanya.

Write a comment