MARANG, 11 April (Bernama) |
Pendakwah bebas Ahmad Tarmizi Ali, 29, dan pelajar Universiti Sultan Zainal
Abidin (UniSZA) Nur Hidayah Abdul Rahman, 23, muncul johan qari dan qariah
tilawah al-Quran peringkat Terengganu yang berakhir hari ini.
Dengan kemenangan itu,
masing-masing membawa pulang wang tunai RM7,000 dan piala pusingan serta akan
mewakili Terengganu ke tilawah peringkat kebangsaan dari 13 hingga 17 Mei di
Pahang.
Ahmad Tarmizi, bekas juara program
realiti televisyen Akademi Al Quran memperoleh markah 94.5 peratus manakala Nur
Hidayah, pelajar tahun akhir Diploma Reka Bentuk Perindustrian mendapat markah
87.17 peratus.
Hadiah disampaikan Menteri Besar
Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.
Ketika ditemui pemberita, Ahmad
Tarmizi berkata beliau akan berusaha meningkatkan penguasaan pembacaan agar
dapat memberi persembahan terbaik di peringkat kebangsaan nanti.
"Harapan saya pastinya ingin
muncul juara di peringkat kebangsaan pula," katanya yang mempunyai 19
beradik dan tujuh daripadanya hafiz.
Nur Hidayah, yang merangkul gelaran
johan qariah Terengganu buat kali ketiga berkata beliau mula belajar ilmu
al-Quran sejak usia sembilan tahun daripada ayahnya dan mahu mengharumkan nama
Terengganu dalam bidang itu.
"Ayah saya, Abdul Rahman Omar
sangat tegas mendidik kami 10 beradik... sejak kecil saya belajar al-Quran
sebanyak empat kali sehari, kalau letih sangat pun ulang kaji bacaan sekali
sehari.
"Saya akan terus belajar agar
dapat menguasai al-Quran dengan lebih baik kerana itulah impian saya mahu berdakwah
kepada masyarakat," katanya.
Kemenangan Nur
Hidayah itu disambut gembira oleh kembarnya Nur Jannah yang sekadar mendapat
hadiah sagu hati dalam tilawah ini.
Sumber: Bernama
Sumber: Bernama
Write a comment
Catat Ulasan