PUTRAJAYA |
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meminda Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986
bagi mengenakan hukuman lebih keras terhadap mereka yang menyalah guna ayat
suci al-Quran.
Menterinya Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pindaan itu mencadangkan agar hukuman denda
tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih dua tahun sekarang dinaikkan kepada
denda tidak lebih RM50,000 dan penjara tidak lebih lima tahun, atau
kedua-duanya.
Cadangan pindaan
ini diusul oleh Lajnah Tashih Al-Quran KDN yang bermesyuarat pada Selasa bagi mengekang penyalahgunaan
ayat suci al-Quran termasuk dijadikan azimat di kedai makan sebagai pelaris
perniagaan, katanya dalam sidang media, di sini.
Katanya pindaan
itu dijangka dilakukan tahun ini, namun KDN akan mengadakan perbincangan dengan
semua pihak berkepentingan termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi
mendapatkan pandangan.
Seterusnya
cadangan ini perlu dibawa ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu untuk mendapat
perkenan, katanya.
Dalam mesyuarat
itu, lajnah atau jawatankuasa yang berperanan menyemak kesahihan al-Quran yang
diedar kepada umat Islam di negara ini, turut membincangkan langkah-langkah
memperkukuh pencegahan dan tindakan terhadap penyebaran fahaman antihadis.
Sementara itu,
Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang turut hadir berkata penyalahgunaan
ayat suci al-Quran terutama oleh peniaga harus dibendung kerana boleh
menjejaskan akidah umat Islam.
"Ayat suci
al-Quran adalah panduan kehidupan untuk umat Islam dan bukannya dijadikan
sebagai azimat dan pameran," katanya.
Beliau juga
mendedahkan perbuatan segelintir pensyarah di institusi pengajian tinggi yang
sewenang-wenang memetik ayat al-Quran untuk memupuk kebencian sesama umat
Islam.
Sumber: Mstar
Sumber: Mstar
Write a comment
Catat Ulasan