SHAH ALAM, 14 Mac |
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menyeru umat Islam
supaya menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup dan tidak hanya sekadar
membaca dan menghafaznya semata-mata.
"Beta dapat merasakan betapa
bertuahnya negara ini apabila kita terus menyuburkan tradisi pengajian dan
pengajaran Al-Quran di dalam masyarakat terutamanya generasi muda," titah
baginda pada Majlis Penutup Menghafaz Al-Quran peringkat kebangsaan kali ke-35
di sini malam ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Besar Selangor Tan
Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Titah baginda, Al-Quran juga
masih relevan untuk diguna pakai sehingga hari ini dalam pelbagai bidang
termasuk politik, ekonomi dan sains selain mampu melahirkan golongan
profesional di kalangan tahfiz.
"Umat Islam negara ini pasti
akan berbangga kerana mempunyai para doktor, jurutera dan ahli cendekiawan yang
bukan sahaja boleh menghafaz Al-Quran tetapi berupaya menyelidik dan membongkar
rahsia Al-Quran untuk kemajuan hidup," titah baginda.
Pada majlis itu baginda turut
berkenan menyampaikan hadiah berupa sijil penghargaan dan wang tunai kepada
pemenang menghafaz Al-Quran.
Seramai 70 peserta dari seluruh
negara menyertai pertandingan itu yang bermula Isnin lepas.
Sementara itu, Jamil Khir berkata
rakyat Malaysia perlu menghentikan amalan tahyul dan khurafat dalam pencarian
pesawat Malaysia Airlines MH370 dan sebaliknya berdoa memohon pertolongan
daripada Allah.
Sumber: Bernama
Write a comment
Catat Ulasan