Azhar Ghazali atau
lebih dikenali sebagai Imam Muda Azhar
melangkah setapak lebih maju dalam kariernya apabila melancarkan album
pertamanya berjudul Doa Dari Al-Quran.
Album tersebut memuatkan 21 doa yang dipetik daripada ayat-ayat Al-Quran.
Antaranya, Doa Mohon Rezeki, Doa Mudah Menghafal,
Doa Ketika Ditimpa Musibah, Doa Mohon Bantuan Allah, Doa Mohon Kesabaran dan
Doa Dilimpahi Rezeki. Pendakwah dan pengacara muda berusia 24 tahun ini juga
tidak menyangka album ini dalam disiapkan.
“Pada mulanya, saya rasa album ini tak akan
berhasil kerana kekangan masa saya sendiri. Saya terlibat dalam pengacaraan
beberapa program TV yang memakan masa.
“Tapi Alhamdulillah. Dalam tempoh tiga bulan
album ini berjaya disiapkan. Ada hikmahnya kerana ini bulan Ramadan, bulan
Al-Quran. Jadi, sangat sesuai temanya,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Akui kurang yakin dengan kebolehan menyanyinya
sendiri tapi ia tidak menghalang Azhar untuk meneruskan rakaman bagi album ini.
“Saya rasa kurang yakin tentang nyanyian saya
tapi lagu dalam bacaan Al-Quran saya boleh buat.
“Jadi, Unic telah memberi cadangan yang sangat
tepatlah dengan kemampuan saya sendiri iaitu membaca doa dari Al-Quran,”
katanya yang diajak Unic untuk menghasilkan album tersebut.
Sejak keluar daripada program Imam Muda 2010
itu, Azhar terlibat mengacara beberapa program TV seperti Pengacara Khabar
Haji, Jemputan Umrah, Naqiq Muda dan Anugerah Illahi. Berkongsi tentang
perancangan terdekatnya, Azhar memberitahu ada merancang untuk mengeluarkan
Selawat Thurah bersama abangnya, Ustaz Zikri Ghazali.
“Insya-ALLAH selepas Aidilfitri ini, saya dan
abang saya bercadang untuk menghasilkan satu album Selawat Thurah. Kitab Thurah
merupakan kitab tradisional lama-lama.
“Sewaktu saya belajar di sekolah pondok, memang
ada selawat-selawat yang sering diperdengarkan. Ia menjadi nostalgia...hanya
ada di pondok-pondok,” katanya.
Tambahnya, “saya bakal berselawat dengan
menggunakan bait dan kalimah yang sama tapi dimodenkan.”
Write a comment
Catat Ulasan