Kota Bharu |
Johan qari dan qariah Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan ke-56, berazam
mengharumkan nama negara pada tilawah al-Quran peringkat antarabangsa di Kuala
Lumpur mulai 29 Jun hingga 6 Julai ini.
Anuar Hasin, 29,
dari Perak, dan Hanimzah Jalaluddin, 31, dari Pahang, bertekad memperbaiki diri
dalam pelbagai aspek merangkumi bacaan, latihan suara, pernafasan, tajwid dan
taranum.
Anuar yang juga
pensyarah Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam
Malaysia (USIM) berkata, usaha memperbaiki diri perlu ditingkatkan kerana
peserta antarabangsa mempunyai kekuatan dan kehebatan tersendiri.
“Persediaan
untuk peringkat antarabangsa memerlukan banyak latihan manakala aspek suara dan
nafas juga perlu diberi fokus kerana peserta antarabangsa memiliki kelebihan
dalam aspek itu,” katanya yang bersyukur menjadi juara selepas empat kali
menyertai tilawah peringkat kebangsaan.
Kedua-duanya
menerima sebuah PROTON Preve, wang tunai RM15,000, piala iringan, cenderamata
dan sijil penyertaan.
Sultan Kelantan,
Sultan Muhammad V, berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang di Dewan Besar
Balai Islam, Lundang, di sini, malam kelmarin.
Johan Akademi
al-Quran Anuar yang juga Johan Akademi al-Quran musim kedua memperoleh 92.33
peratus markah manakala Hanimzah mendapat 88.34 peratus.
Mengulas
mengenai lima daripada enam peserta yang menang pada tilawah berkenaan adalah
bekas peserta program realiti televisyen, Akademi Al-Quran (AQ), Anuar berkata,
ramai daripada mereka mempunyai bacaan baik.
“Penyertaan
adalah kebetulan dan AQ membantu lahirkan kami tetapi sebelum itu pun, kami
mempunyai asas pengajian taranum.
“AQ menjadi batu
loncatan untuk lebih maju,” kata qari kelahiran Parit Buntar itu.
Hanimzah
mengakui teruja mewakili negara ke peringkat antarabangsa dan bertekad
memberikan yang terbaik.
Perbaiki Tajwid
“Saya akan
memperbetulkan pelbagai aspek terutama taranum dan tajwid,” katanya yang
mewakili Pahang enam kali pada tilawah peringkat kebangsaan.
Write a comment
Catat Ulasan