TIKAM BATU |
Satu demi satu keajaiban dapat disaksikan sepanjang membuat liputan tragedi
kebakaran yang menyebabkan seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab),
Kampung Masjid, Tikam Batu terkorban dalam kejadian jam 1.50 pagi, Sabtu lalu.
Namun, apa yang
berlaku pasti mempunyai hikmah tersendiri selain menunjukkan kekuasaan ALLAH
SWT.
Ini bukan sahaja
dapat dibuktikan dengan penemuan barang-barang milik mangsa terkorban yang
masih elok tersusun dalam almari kayu sedangkan almari besi milik pelajar lain
semuanya hangus termasuk pakaian dan barang-barang peribadi lain.
Dalam kejadian
itu, mangsa, Aiman Nurhakim Yahya, 13, seorang pelajar pintar, rajin dan antara
yang paling berdisiplin dikatakan gagal untuk menyelamatkan diri setelah
terperangkap dalam kebakaran di asrama tempat mereka menetap.
Barang Rakan Lain Musnah
Menceritakan
kembali tragedi itu, Penaung Rangkaian Pusat Pendidikan Al-Barakah yang juga
imam kariah Kampung Masjid, Anuar Md Isa berkata, kesemua pelajar sudah terjaga
dari tidur dan menjangkakan Aiman adalah yang terakhir keluar menyelamatkan
diri.
“Kemungkinan
arwah yang tidur di tingkat atas cuba untuk turun melalui tangga, tetapi
bahagian atas binaan asrama yang berasaskan kayu runtuh menyebabkan dia
terperangkap dalam api yang marak,” katanya.
Menurut Anuar,
apa yang lebih ajaib ialah penemuan barang-barang peribadi milik arwah yang
masih elok tersusun dalam almari miliknya sedangkan barang peribadi rakan-rakan
lain semuanya musnah.
“Kalau nak
diikutkan, api menjulang tinggi sehingga memusnahkan keseluruhan bahagian
asrama, bagaimanapun almari Aiman yang diperbuat daripada kayu, terpelihara.
“Apa yang saya
perasan juga ialah selipar yang selalu digunakan arwah selalunya diletakkan di
luar, tetapi sebelum kejadian, dia ambil dan letak elok-elok dalam laci.
Selipar itu juga masih elok dan tersimpan rapi,” katanya yang mengakui sesuatu
keajaiban mengenai peribadi pelajar itu.
Baru Lakukan Tasmid Tasmik
Anuar berkata,
Aiman baru sahaja selesai menghabiskan satu juzuk al-Quran dan dijangka bakal
masuk ke juzuk kedua.
“Dia baru sahaja
melakukan tasmid (mendengar bacaan al-Quran) satu juzuk dengan ustaznya bagi
membolehkannya memasuki juzuk kedua yang dijangka hari ini (semalam),” katanya.
Lebih
memeranjatkan, Anuar berkata, pakar yang melakukan bedah siasat ke atas jasad
Aiman mendapati, otaknya masih segar, seperti otak orang masih hidup, sedangkan
anggota badan lain sudah rentung.
“Memang
keajaiban apabila pakar yang menjalani bedah siasat menjelaskan, otaknya masih
segar, bersinar seolah-olah milik insan yang masih hidup,” katanya, memuji
kekuasaan ALLAH SWT.
Tidak Jejas Ambilan Pelajar
Menurut Anuar,
tragedi yang menimpa Mantab langsung tidak mematahkan semangatnya dan tenaga
pengajar lain untuk terus mengembangkan syiar Islam dalam usaha melahirkan
generasi al-Quran yang cemerlang.
“Kita baru
sahaja menerima seorang pelajar hari ini (semalam). Ini menunjukkan respons
positif daripada pihak ibu bapa dan ia (tragedi) sebenarnya tidak menjejaskan
pengambilan pelajar,” katanya.
Berhubung soal
keselamatan pula, katanya, pihaknya akan meningkatkan ciri-ciri keselamatan di
samping menyediakan kelengkapan dan meningkatkan ilmu berhubung keselamatan
selain menyediakan prasarana yang layak.
“Setakat ini,
pelajar diberi cuti seminggu untuk kita jalankan proses pengurusan, terutamanya
melibatkan penempatan pelajar di blok sebelah,” katanya.
Menurut Anuar,
kesemua 20 pelajar berusia antara 13 dan 17 tahun akan dipindahkan ke blok
bilik darjah yang sedang diubah suai menjadi tempat penginapan.
Beliau turut
mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak yang bersimpati, menyumbang
dan membantu pihaknya untuk membangunkan semula maahad tahfiz itu.
Write a comment
Catat Ulasan