Kaedah Al-Jabari Hanya 30 Jam

Kuala Lumpur | Umat Islam kini boleh mempelajari al-Quran dengan lebih mudah dan berkesan menerusi pengenalan kaedah terbaru pembelajaran Kitab Suci itu dikenali sebagai Al-Jabari.

Al-Jabari adalah teknik pembelajaran Al-Quran cara mudah yang membolehkan seseorang mengingat huruf, menulis dan menguasai asas pembacaan al-Quran (tajwid) dalam masa hanya kira-kira satu hari.


Pengarah Pusat Penyelidikan al-Quran Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Zulkifli Mohd Yusoff, berkata kaedah itu mula diasaskan oleh guru agama merangkap ahli Yayasan Pendidikan Al-Jabari Indonesia, Dr H Yusuf Sodik dan mendapat kelulusan Kementerian Agama negara itu.

Katanya, Al-Jabari berasaskan kepada tiga proses utama pembelajaran iaitu penyerapan, pengekalan dan mengingat semula yang berdasarkan sistem yang dinamakan Titian Ingatan.

“Titian Ingatan mengandungi teknik menghafal huruf jawi tunggal atau bersambung mengikut rentak bacaan selawat Badar untuk memudahkan lagi proses mengingat,” katanya kepada pemberita pada Seminar Pembelajaran Al-Quran Cara Mudah 30 Jam, di sini, semalam.

Pembelajaran mudah Seminar anjuran Pusat Penyelidikan al-Quran, UM dengan kerjasama Yayasan Pendidikan Al-Jabari, Indonesia dan Yayasan Semesta Berdaftar Malaysia itu dihadiri kira-kira 100 peserta daripada pelbagai peringkat umur.

Zulkifli berkata, golongan sasaran kaedah mempelajari al-Quran itu adalah kepada individu yang berminat mempelajari Kitab Suci dalam masa singkat melalui pembelajaran secara mudah dan seronok, walaupun mereka langsung tidak tahu membaca sebelum itu.

Katanya, kaedah berkenaan juga sudah diperkenalkan kepada golongan mualaf dan orang kelainan upaya (OKU) termasuk penghidap autisme dan ia terbukti berkesan.

Beliau berkata, Al-Jabari diuruskan oleh Institut Pengajian Al-Quran (IPaQ) sebuah badan khas yang dibangunkan oleh Yayasan Semesta Berdaftar Malaysia.

“Setakat ini, IPaQ sudah melahirkan kira-kira 50 tenaga pengajar melalui Program Latihan Tenaga Pengajar (ToT) dan menyasarkan untuk mewujudkan akademi Al-Jabari pada Oktober ini,” katanya.

Sementara itu, Anisah Luzvisminda, 47, berkata beliau yang sudah lebih 17 tahun memeluk agama Islam, berasa amat bersyukur kerana diperkenalkan dengan mempelajari al-Quran kaedah itu.

“Sebelum ini, saya langsung tidak tahu membaca al-Quran tetapi selepas diperkenalkan dengan kaedah Al-Jabari, kini bukan saja boleh membaca, menulis dan menguasai asas tajwid, malah boleh mengajar anak-anak,” katanya.



Macam-macam kaedah ada di Malaysia nih tapi ramai juga masih tak mampu mengaji. Pokok pangkalnya kesungguhan. Kalau balik rumah tutup kitab, tak ulangkaji sampai bila-bila tak boleh baca Quran.

Write a comment