MATLAMAT Mukit
Abdul Hadi atau lebih mesra dengan panggilan Ariff Hasan belajar di Pondok
Lanai, Baling, Kedah selama enam tahun dan memperoleh Sijil 4 Thanawi dan
kemudian menyambung pengajian selama empat tahun di Maahad Tahfiz Misbahul
Munir juga di Baling, hanya semata-mata untuk melancar bacaan al-Quran. Tidak
pernah terlintas di hatinya untuk menyediakan perkhidmatan mengajar al-Quran
dari rumah ke rumah.
“Inilah yang
dikatakan takdir Allah SWT. Jalan ke arah ini diilhamkan oleh seorang kenalan
yang saya sudah anggap sebagai saudara rapat iaitu Ustaz Zaki. Apabila dia
mendengar luahan saya yang sudah beberapa bulan hilang pendapatan sebaik
berhenti mengajar di Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) lantas dia menyuruh saya
memasang kain rentang sebagai satu cara mengiklankan perkhidmatan mengajar
mengaji di rumah.
“Hari pertama
dan kedua memang kurang sambutan. Tetapi masuk hari ketiga dan seterusnya
panggilan yang diterima bertalu-talu. Ada yang sampai tidak dapat dilayan.
Barulah saya tahu memang orang ramai sangat-sangat memerlukan perkhidmatan
sebegini.
“Bermula dengan
empat buah keluarga pada tahun 2007, dua tahun kemudian sebaik saya berhenti
Kafa, menjadi 10 keluarga seterusnya 15 keluarga. Kini antara 40 hingga 50 buah
rumah,” bicara anak muda berusia 28 tahun itu kepada Mega, baru-baru ini.
Akui Ariff yang
melihat senario ini sebagai satu trend, fenomena itu disokong pula dengan
kesibukan ibu bapa serta kelapangan dalam mengatur jadual pembelajaran
anak-anak menjadikan kaedah berkenaan semakin diterima ramai.
“Alhamdulillah
dengan bantuan beberapa lagi teman telah melancarkan perjalanan kelas-kelas
yang kini disediakan di sekitar Balakong, Kajang, Cheras, Serdang, Ampang,
Banting dan Shah Alam.
“Biarpun nampak
mudah tetapi untuk mengelakkan fitnah ataupun sesuatu yang buruk berlaku, saya
telah mengambil sijil pentauliahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam
Selangor (JAIS) yang dipanggil Tauliah Mengajar Al-Quran dan Fardu Ain,”
katanya.
Kata Ariff, dia
menyediakan dua tahap pengajaran iaitu untuk golongan dewasa di mana tumpuan
pada al-Quran dan tajwid. Manakala kumpulan kanak-kanak, fokus pada Iqra dan
Fardu Ain.
“Selain mengajar
di rumah, saya juga menyediakan kelas-kelas mengaji di rumah saya. Ada dua
iaitu secara berkumpulan dan persendirian. Pelanggan boleh memilih kelas
mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.
Berkongsi
pengalamannya sepanjang mengendalikan kelas pengajian al-Quran dan Fardu Ain,
kata Ariff, bagi kanak-kanak dia kendalikannya secara garang dan tegas bagi
peringkat permulaan.
“Saya akan lihat
karakter kanak-kanak itu kerana setiap kanak-kanak mempunyai perangai yang
berbeza. Kemudian, saya lihat pada bacaan mereka dari aspek sebutan dan
ingatan. Andai mereka lancar, saya yakin dalam tempoh tiga hingga empat bulan mereka
mampu selesaikan Iqra.
“Bagi orang
dewasa selalunya ia jauh lebih mudah dan saya lebih suka mengajar golongan ini
kerana mereka memang hendak belajar. Satu pengalaman yang jadi iktibar kepada
saya sehingga hari ini setiap kali mengendali anak murid dewasa ialah dengan
menjaga turut kata.
“Saya pernah
menegur seorang pelajar dewasa memberitahunya supaya jangan terlalu kerap tidak
ke kelas. Maksud saya, apabila kita tidak selalu membaca, kita akan kembali
lupa dan bacaan kita akan merangkak-rangkak. Itu satu kerugian dan sayang!
Tetapi dia menerimanya secara lain. Sejak itu dia sudah tidak pergi ke kelas,”
akui Ariff yang blognya boleh diakses menerusi
www.alqurantajwid2010.blogspot.com.
Sumber:
Utusan
Malaysian. Jumaat. 6 Apr 2012.
Write a comment
Catat Ulasan