Oleh
DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
MENURUT
pendapat Abu Kuraib (أبو
كريب) daripada Ibn
Abbas, surah ini termasuk dalam surah Makiyyah (سور المكية). Sedangkan mengikut riwayat Abu Salih daripada Ibn Abbas, ia
termasuk surah Madaniyah (سور المدنية). Ia mengandungi enam ayat dan diturunkan selepas Surah
al-Falaq (سورة
الفلق).
Firman
Allah SWT: Katakanlah: Aku berlindung kepada Tuhan (yang memelihara dan
menguasai) manusia. Raja manusia, sembahan manusia.
قُلْ
أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ (١) مَلِكِ النَّاسِ (٢) إِلَهِ
النَّاسِ (٣)
Kenapa
dimulakan dengan Rabb yang disandarkan kepada manusia sedangkan Allah Tuhan
sekalian makhluk. Jawapannya dua:
1.
Kerana manusia yang mengagungkan Tuhan di samping mereka yang ditaklifkan.
2.
Kerana ia diperintahkan untuk memohon pertolongan kepada Allah daripada
kejahatan manusia.
Berkenaan
dengan Allah sebagai raja bertujuan mengingatkan bahawa sekalipun di kalangan
manusia ada yang menjadi raja, tetapi raja yang sebenar ialah Allah. Inilah
yang dinyatakan oleh al-Mawardi dalam kitabnya al-Nukat wa al-Uyun (النكت والعيون).
Sayid
Qutub berkata: “Dalam surah ini, permohonan perlindungan dipanjatkan kepada
Allah Tuhan yang memelihara manusia, yang memerintah manusia dan yang disembah
manusia, dan perkara yang dipohon ialah perlindungan dari kejahatan syaitan
yang datang dan menghilang untuk membisik kejahatan di dalam hati manusia iaitu
syaitan jin dan syaitan manusia.”
Memohon
perlindungan kepada Tuhan yang memelihara dan menguasai manusia dan disembah
manusia itu ialah dengan menghadirkan sifat-sifat Allah yang agung yang dapat
menolak segala kejahatan umum dan khususnya kejahatan syaitan pembisik yang
datang dan menghilang.
Al-Rabb
(الرب) ialah sifat
Allah yang memelihara, membimbing, mengarah, menjaga dan melindung. Al-Mulk (الملك) ialah sifat Allah yang memilik, memerintah dan mentadbir.
Al-Ilah (الإله) ialah sifat
Allah yang menguasai segala-galanya. Semua sifat-sifat ini berkuasa memberi
pertolongan daripada segala kejahatan yang meresap dalam hati manusia yang
tidak mengetahui bagaimana hendak menolak segala kejahatan yang tersembunyi
itu.
Allah
adalah tuhan pemelihara dan pelindung segala makhluk, Pemerintah segala makhluk
dan penguasa segala makhluk. Tetapi di sini Allah disebut secara khusus sebagai
pemelihara dan pelindung manusia, pemerintah manusia dan tuhan yang disembah
manusia.
Supaya
manusia berasa begitu hampir kepada-Nya dalam detik-detik mencari perlindungan
dan naungan.
Allah
telah mengarahkan Rasul-Nya dan sekalian umat supaya mencari perlindungan dan
naungan pada-Nya dengan menghadirkan pengertian-pengertian dari sifat-sifat
tersebut itu semoga melindungi mereka daripada kejahatan yang sangat halus
jejak langkahnya.
Yang
tidak terdaya ditolak melainkan dengan pertolongan Allah. Kerana kejahatan yang
halus itu menyerang mereka tanpa disedari dan mendatangi mereka dari arah yang
tidak terfikir oleh mereka.
Firman
Allah: Dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi,
مِنْ
شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ (٤)
Perkataan
khanas (الخناس) ialah syaitan
dan dinamakan demikian kerana dua sebab:
i.
Sifatnya banyak tersembunyi.
ii.
Kerana dia akan kembali dari mengingati Allah.
Al-Maraghi
berkata dalam Tafsirnya: “Aku kembali berlindung ke hadrat-Mu ya Allah, Tuhan
Pemelihara seluruh makhluk, kiranya Engkau menyelamatkan kami daripada
kejahatan syaitan yang membuat bisikan was-was yang banyak sekali muncul dan
tersembunyi. Ini disebabkan syaitan itu datang dari arah kebatilan, sehingga ia
tidak mampu menghalang kebenaran jika berhadapan. Hanya ia mempunyai jiwa
kepada akibat yang buruk sekiranya jiwa itu mengikut arus bisikannya, terpikat
dan terikat kepada apa yang terlintas dalam hatinya.”
Bisikan-bisikan
jiwa yang demikian ini akan tersembunyi dan menyelinap masuk apabila dikuasai oleh
akal, kemudian orang yang menerima bisikan itu menjadi tenang.
Bisikan-bisikan
untuk melakukan keburukan dan pelbagai usaha membuat orang itu derita akan
pergi bersama angin jika jiwa manusia mengingati perintah-perintah syarak. Oleh
sebab itu, apabila seseorang menggodamu dan mendorongmu untuk melakukan
kejahatan, kemudian kamu teringat kepada perintah-perintah agama, maka bisikan
akan tersembunyi dan tidak terucap.
Firman
Allah: Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia, dari (golongan) jin
dan manusia. Dari (golongan) jin dan manusia.
الَّذِي
يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ (٥) من الجنة والناس (٦)
Ibn
Qutaibah berkata: “Dada-dada disini dengan makna hati.”
Ibn
Abbas berkata: “Syaitan selalu bergantung pada hati anak Adam apabila seseorang
itu leka dan ia mewas-waskannya. Sebaliknya apabila seseorang menyebut Allah
nescaya dia melarikan diri.”
Al-Maraghi
berkata: “Godaan yang biasa bersembunyi dan memberikan bisikan ke dalam dada
manusia itu kadang-kadang berbentuk jin dan kadang-kadang dalam bentuk
sebagaimana dijelaskan Allah SWT melalui firmannya yang bermaksud: Dan
demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh daripada syaitan-syaitan
manusia dan jin. (al-An'am: 112)”
وَكَذَلِكَ
جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الإنْسِ وَالْجِنِّ
Syaitan
daripada jin kadangkala memberi bisikan dan kadangkala bersembunyi, demikian
juga dengan syaitan manusia. Banyak sekali kita melihat orang yang
memperlihatkan diri di hadapan kita selaku penasihat yang seolah-olah boleh
dipercayai. Ketika kita mengherdiknya, lalu dia bersembunyi dan meninggalkan
bisikan itu. Manakala jika kita perhatikan kata-katanya itu, lalu dia asyik dan
menyimpang jauh pembicaraannya serta bersemangat dalam pembicaraannya.
Imam
Muhammad Abduh mengatakan bahawa pemberi bisikan itu ada dua jenis:
Pertama
bangsa jin, iaitu makhluk tersembunyi yang tidak kita ketahui. Kita hanya
menemukan dalam diri kita suatu pengaruh atau kesan yang dinisbahkan kepada
mereka. Pada setiap orang, terdapat syaitan ini iaitu satu potensi yang menarik
kepada kejahatan dan memberi bisikan buruk pada hati manusia.
Kedua
bangsa manusia, godaan dan bisikan mereka kita lihat dan kita saksikan dengan
mata kepala dan telinga kita.
Dalam
surah ini Allah memberi bimbingan agar manusia memohon pertolongan kepada-Nya.
Sebagaimana Dia memberi bimbingan dalam Surah al-Fatihah untuk memberi isyarat
bahawa yang dapat mengatasi semuanya ialah menghadapkan diri kepada-Nya
semata-mata, ikhlas dalam berkata dan beramal, bertawakal mengembalikan segala
sesuatu kepada-Nya dan bersabar menghadapi hal-hal yang kita tidak berkuasa
untuk menghalangnya.
Ya
Allah! Jadikanlah kami orang yang ikhlas dalam segala amal perbuatan kami,
jauhkanlah kami daripada godaan syaitan, jin dan manusia. Jauhkanlah kami
daripada kejahatan para pembisik dan penggoda, selamatkanlah kami daripada
seksaan Neraka Jahanam.
Semoga
Allah memberi rahmat kepada Nabi Muhammad, keluarganya yang baik lagi suci,
para sahabat pembela agama-Mu dengan menanamkan ketenangan dan keyakinan dalam
hati meneguhkan hati dalam mencintai agama ini.
Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 5/8/2011.
Write a comment
Catat Ulasan