Oleh
ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA
KUALITI
barangan seramik Iznik mengalami masalah kemerosotan kualiti yang teruk pada
abad ke 17 Masihi selepas ia dikagumi ramai selama lebih kurang 200 tahun.
Antara sebab utama kemerosotan kualiti barangan Iznik ialah kerana campur
tangan istana, kekurangan bahan mentah, masalah kawalan harga yang terlalu
ketat dan penghijrahan keluar pembuat seramik dari Iznik.
Pada
abad ke 17 Masihi, seorang pegawai kanan empayar Uthmaniyah telah cuba untuk
mengukuhkan kembali industri seramik Iznik dengan membawa dua orang pakar
pembuat seramik Iznik ke Istanbul untuk memulakan bengkel seramik Iznik semula.
Malangnya kesinambungan kraf seramik ini gagal mencapai keputusan yang
dikehendaki kerana terdapat pelbagai masalah teknikal.
Sewaktu
industri seramik Iznik semakin merudum, satu lagi pusat pembuatan seramik
empayar Uthmaniyah mula mendapat perhatian. Kutahya yang juga merupakan pusat
pengeluaran barangan seramik Uthmaniyah semakin digemari dan semakin popular di
kalangan rakyat tempatan dan juga pendatang asing.
Sewaktu
abad ke 17 Masihi, harga barangan seramik Kutahya mula meningkat dan mengatasi
harga barangan seramik Iznik di pasaran. Sebagai contoh, pada tahun 1623
Masihi, sebiji pinggan Kutahya berharga 500 akne (mata wang Uthmaniyah ketika
itu) berbanding harga dua belas biji pinggan Iznik yang berharga 60 akne
keseluruhannya.
Barangan
seramik Kutahya mendapat permintaan tinggi kerana motif hiasan dan jenis produk
yang berlainan berbanding barangan seramik yang dikeluarkan di Iznik. Motif
hiasan Kutahya dikatakan lebih digemari kerana ia sesuai dengan cita rasa
golongan pembeli yang bukan daripada golongan istana. Motif hiasannya
memaparkan motif harian dan legenda yang menepati cita rasa golongan di luar
istana berbanding motif hiasan barangan Iznik yang terlalu kompleks seperti
tughra dan rumi hatayi yang sesuai untuk kegunaan istana.
Seramik
keluaran Kutahya juga turut mendapat permintaan daripada golongan bukan Islam
untuk hiasan seni bina rumah ibadat mereka terutamanya gereja. Pembuat barangan
seramik Kutahya juga memenuhi permintaan masyarakat bukan Islam untuk
mendapatkan motif-motif keagamaan yang mereka perlukan seperti yang terdapat di
dalam gereja St James di Jerusalem.
Antara
bangunan empayar Uthmaniyah abad ke 18 Masihi yang menggunakan seramik Kutahya
ialah Masjid Yeni Valide di Istanbul, Balikli Tekkesi di Kutahya, Masid
Nakiboglu di Konya, Masjid Beylerbeyi di Istanbul dan Masjid Ali Pasha di
Kutahya.
Motif
yang menunjukkan ilustrasi Ka'abah di Mekah di atas seramik turut bermula
dengan seramik Kutahya. Ia juga turut memperlihatkan penambahan warna yang
digunakan di atas barangan seramik Kutahya seperti kuning dan biru kundang.
Kedua-dua warna ini mendapat permintaan yang tinggi daripada pembeli.
Seperti
Iznik, Kutahya juga mengalami saat-saat kemerosotan pada abad ke 18 Masihi
tetapi industri ini mampu bangkit semula pada abad ke 20 dan terus mewarisi
kegemilangan industri seramik Iznik sehingga ke hari ini dengan menggunakan
motif hiasan seramik Iznik seperti bunga tulip, teluki (carnation), hyacinths
dan sebagainya atas permintaan pembeli yang tinggi. Sokongan daripada kerajaan
di awal abad ke 20 Masihi dengan mewajibkan bangunan baru menggunakan hiasan
seramik Kutahya membantu mengukuhkan industri seramik Kutahya.
Selain
pembuat seramik Kutahya, terdapat juga pembuat seramik di Jerusalem dan di
Eropah yang meneruskan penggunaan motif hiasan seramik Iznik walaupun ia tidak
mempunyai kualiti yang setanding dengan barangan seramik Iznik.
Barangan
seramik Iznik dan Kutahya ada dipamerkan di galeri seramik Muzium Kesenian
Islam Malaysia (MKIM). MKIM juga akan menerbitkan sebuah buku mini baru yang
berjudul The Essence of Iznik tidak lama lagi. Buku mini ini sesuai untuk
bacaan umum dan para pelajar seni sebagai pengenalan kepada seni barangan
seramik Iznik. Ia boleh didapati di Kedai Muzium Kesenian Islam Malaysia atau
lawati laman sesawang muzium di www.iamm.org.my untuk maklumat lanjut.
Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 29/7/2011.
Write a comment
Catat Ulasan