Oleh
DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
SEMPENA
10 hari terakhir Ramadan dikemukakan dalam isu ini berkaitan iktikaf (إعتكاف). Ia
berdasarkan kitab al-Fiqh al-Manhaji (الفقه المنهجي). Iktikaf
dari segi bahasa adalah tetap dan tenteram dengan sesuatu. Menurut syarak pula
bermaksud berada di dalam masjid dengan niat tertentu.
Firman
Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika
kamu sedang beriktikaf di masjid (al-Baqarah: 187).
وَلا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنْتُمْ
عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ
Sementara
hadis pula, daripada Aisyah bermaksud: Nabi SAW beriktikaf pada sepuluh hari
yang akhir bulan Ramadan, kemudian diikuti pula oleh para isteri baginda
(riwayat al-Bukhari (1922) dan Muslim (1172).
Iktikaf
adalah syariat yang telah lama dikenali sebelum Islam. Ini berdasarkan firman
Allah SWT: Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail,
bersihkanlah rumah-Ku (Kaabah dan Masjidil Haram dari segala perkara yang
dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf
(yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud (al-Baqarah
ayat 125).
وَإِذْ جَعَلْنَا الْبَيْتَ
مَثَابَةً لِلنَّاسِ وَأَمْنًا وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى وَعَهِدْنَا
إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ أَنْ طَهِّرَا بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْعَاكِفِينَ
وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ (١٢٥)
Hikmah
Pensyariatan
Setiap
Muslim mesti mencuba dari semasa ke semasa menyekat nafsu daripada segala
keinginan yang diharuskan dan mengekang diri untuk mentaati Tuhan.
Seterusnya
menumpukan ibadat kepada-Nya supaya jiwa sentiasa patuh dan tunduk mencintai
Allah SWT, sentiasa mengutamakan keredaan-Nya dan meninggalkan segala keinginan
yang diharamkan dan kehendak nafsu yang memberi kemudaratan.
Firman
Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh
melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku
(maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu) (Yusuf: 53).
وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي إِنَّ
النَّفْسَ لأمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلا مَا رَحِمَ رَبِّي إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَحِيمٌ
(٥٣)
Justeru,
iktikaf disyariatkan semata-mata untuk menumpukan fikiran, membersihkan hati,
dan mendidik nafsu supaya dingin terhadap keinginan yang diharuskan. Seterusnya
menjauhi segala yang bertentangan dan dosa.
Hukum
Iktikaf
Sunat
iktikaf pada setiap masa. Ia sangat digalakkan dalam bulan Ramadan, lebih-lebih
lagi pada 10 hari terakhir di bulan tersebut.
Namun,
iktikaf menjadi wajib bagi sesiapa yang bernazar melakukannya. Oleh yang
demikian, hukum iktikaf terbahagi kepada tiga, iaitu:
1. Sunat
pada sebarang waktu.
2. Sunat
muakkad pada 10 hari terakhir bulan Ramadan. Hikmah iktikaf sangat dituntut
pada hari tersebut untuk mendapatkan Lailatulqadar, malam yang termulia dalam
setahun. Firman Allah SWT yang bermaksud: Malam Lailatulqadar lebih baik
daripada seribu bulan (al-Qadr: 3).
لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ
مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (٣)
Ini
bererti, amalan pada malam tersebut lebih baik daripada amalan 1,000 bulan yang
tidak ada Lailatul Qadar. Jumhur ulama berpendapat, Lailatul Qadar adalah 10
malam akhir Ramadan.
3. Wajib
sekiranya bernazar.
Syarat
Sah Iktikaf
1. Sah
iktikaf dengan dua syarat:
a. Niat.
Berniat pada permulaan iktikaf, iaitu berniat berada di dalam masjid selama
tempoh yang tertentu dengan tujuan beribadat melaksanakan sunnah. Sesiapa yang
masuk ke dalam masjid dengan niat keduniaan atau tanpa sebarang tujuan,
perbuatannya itu tidak dianggap iktikaf dari segi syarak.
b. Berada
di dalam masjid dalam tempoh yang dikira iktikaf pada anggapan umum
Termasuk
juga dalam syarat ini ialah syarat-syarat harus tinggal di dalam masjid. Iaitu
suci daripada janabah, haid, nifas dan tiada sebarang najis pada pakaian dan
badan yang boleh mengotori masjid.
Batal
iktikaf seseorang yang keluar daripada masjid tanpa sebab. Namun, iktikaf tidak
batal sekiranya dia keluar dengan bersebab dan masuk semula ke dalam masjid. Ia
dianggap sama hukumnya dengan iktikaf yang berterusan.
Sunat
berpuasa ketika beriktikaf. Walau bagaimanapun, ia tidak menjadi syarat untuk
mendapat pahala sunat iktikaf itu. Ini berdasarkan hadis, daripada Ibn Abbas,
Nabi SAW bersabda: “Orang yang beriktikaf tidak wajib berpuasa kecuali dia
mewajibkannya sendiri (riwayat al-Hakim).”
Iktikaf
Nazar
Seseorang
yang bernazar beriktikaf dalam tempoh tertentu secara berturutan tidak harus
keluar masjid kecuali sebab yang perlu, seperti buang air besar dan kecil,
berwuduk dan seumpamanya.
Tidak
haram keluar masjid disebabkan keperluan tersebut dan iktikafnya juga tidak
terputus.
Sebaliknya,
haram dia keluar tanpa sebab yang perlu. Seperti bersiar-siar atau sebarang
perbuatan yang tidak mustahak. Iktikaf juga terputus dan wajib memulakannya
semula.
Seseorang
yang bernazar beriktikaf ketika sedang berpuasa maka wajib meneruskannya. Ini
adalah cara iktikaf yang afdal. Apabila itu yang dinazarkan maka dia wajib
melakukannya.
Seseorang
mungkin bernazar beriktikaf di masjid tertentu, tetapi dia tidak terikat
beriktikaf di masjid tersebut.
Malah,
sah jika beriktikaf di masjid yang lain, sekalipun masjid yang ditentukannya
itu lebih utama daripada masjid yang lain kecuali Masjidil Haram, Masjid Nabawi
dan Masjidil Aqsa.
Apabila
dia bernazar untuk beriktikaf di dalam masjid yang tertentu antara tiga masjid
tersebut, dia wajib beriktikaf di dalamnya.
Ini
kerana kemuliaannya yang lebih dan pahala beribadat di dalamnya yang berganda.
Akan tetapi, Masjidil Haram boleh menggantikan tempat kedua-dua masjid yang
lain dan tidak boleh sebaliknya. Begitu juga Masjid Madinah boleh menggantikan
tempat Masjidil Aqsa dan tidak sebaliknya.
Adab-Adab
Iktikaf
1. Orang
yang beriktikaf sunat membuat amalan yang mentaati Allah SWT, seperti berzikir,
membaca al-Quran dan membincangkan ilmu pengetahuan. Ini kerana amalan itu
lebih sesuai untuk mencapai tujuan iktikaf tersebut.
2.
Beriktikaf serta puasa adalah afdal dan lebih mampu menguasai keinginan nafsu,
menumpukan fikiran dan membersihkan jiwa.
3. Beriktikaf
di masjid, yang didirikan solat Jumaat.
4. Jangan
bercakap-cakap kecuali perkara yang baik. Jangan memaki, mengumpat, mengacum
dan berbual-bual perkara yang tidak berfaedah.
Makruh
Iktikaf
1. Makruh
berbekam di kepala dan badan yang terjamin tidak mengotori masjid. Akan tetapi,
hukumnya haram jika perbuatan itu dikhuatiri akan mengotorkannya.
2. Membuat
kerja-kerja sambilan, seperti mengait benang, menjahit dan lain-lain. Begitu
juga dengan berjual beli, sekalipun sedikit.
Perkara
Merosakkan Iktikaf
1. Bersetubuh
dengan sengaja sekalipun tanpa keluar mani. Firman Allah SWT: Dan janganlah
kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid
(al-Baqarah: 187). Sementara perbuatan yang lain, seperti bersentuhan dan
berkucupan tidak membatalkan iktikaf kecuali apabila keluar mani.
2. Keluar
masjid dengan sengaja tanpa sebab yang perlu.
3. Murtad,
mabuk dan gila.
4.
Haid dan nifas kerana kedua-duanya menghalang seseorang berada di dalam masjid.
Namun
begitu, orang yang berniat iktikaf sunat harus memutuskan iktikafnya dan keluar
masjid pada bila-bila masa yang dikehendakinya. Setelah keluar masjid, dia
hendaklah memperbaharui niat iktikafnya apabila masuk semula ke masjid.
Maka
marilah sama-sama kita mengambil kesempatan pada malam-malam terakhir Ramadan
ini untuk beriktikaf dan dengannya, insya-Allah kita berjumpa serta dapat
menghidupkan malam Lailatul Qadar.
Sumber: Utusan Malaysia. Isnin. 22/8/2011.
Write a comment
Catat Ulasan