Imam Abu Jaafar Al-Madani



Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

IMAM Ibnu al-Jazari - ابن الجزري (meninggal dunia 833 hijrah) mengkaji dengan teliti perkembangan Qiraat pada zamannya dan mendapati Qiraat yang menjadi amalan harian ketika itu tujuh Qiraat iaitu Imam Nafei’ (نافع المدني), Ibnu Kathir (ابن كثير المكي), Abu Amru (أبو عمرو البصري), Ibnu ‘Amir (ابن عامر الدمشقي), Asim (عاصم الكوفي), Hamzah (حمزة الكوفي) dan al-Kisai (الكسائي الكوفي).

Dalam pengamatannya juga, ramai di kalangan umat Islam ketika itu berpandangan tujuh Qiraat tersebut sahajalah yang mutawatirah dan sah membacanya dalam sembahyang. Selain Tujuh Qiraat adalah tidak mutawatirah.

Kajian Ibnu al-Jazari terhadap Qiraat berdasar kepada tiga rukun iaitu sanad yang sahih, menepati mushaf Uthmani dan menepati bahasa Arab yang fasih. Rumusannya Tiga Qiraat iaitu Imam Abu Ja’far (أبو جعفر المدني), Imam Ya’qub (يعقوب الحضرمي) dan Imam Khalaf (خلف العاشر الكوفي) adalah sahih dan mutawatirah.

Imam Abu Ja’far (يزيد بن القعقاع المخزومي المدني) adalah di kalangan Tabien. Beliau menerima pendidikan al-Quran daripada guru-guru di kalangan para sahabat ra. Guru-gurunya ialah; Abdullah Ibnu ‘Ayyash Ibnu Abi Rabi’ah (عبد الله بن عياش بن أبي ربيعة), Abdullah Ibnu Abbas (عبد الله بن عباس), Abu Hurairah (أبو هريرة). Ada juga yang mengatakan beliau sempat membaca al-Quran kepada Zaid Ibnu Thabit ra. (زيد بن ثابت) namun Imam al-Zahabi (الذهبي) menafikan.

Di waktu kecilnya, Imam Abu Ja’far dibawa kepada Ummu Salamah (أم سلمة) iaitu Ummu al-Mukminin dan beliau menggosok kepalanya dengan mendoakan keberkatan. Abu Ja’far juga pernah bersolat di belakang Ibn Umar ra.

Ilmu al-Quran yang dikuasainya menjadikan beliau tumpuan umat Islam ketika itu untuk menimba ilmunya antara yang menjadi muridnya ialah Imam Nafei’, Sulaiman Ibnu Muslim Ibn Jammaz (سليمان بن مسلم بن جماز), Isa Ibnu Wardan (عيسى بن وردان), Abu Amru (أبو عمرو), Abdul Rahman Ibnu Zaid Ibnu Aslam (عبد الرحمن بن زيد بن أسلم) dan tiga anaknya iaitu Ismail (إسماعيل), Ya’qub (يعقوب) dan Maimunah (ميمونة).

Imam Malik menyatakan bahawa Abu Ja’far adalah lelaki yang soleh dan mengajar al-Quran kepada penduduk Madinah.

قال الإمام مالك بن أنس: كان أبو جعفر القارئ رجلاً صالحاً يفتي الناس بالمدينة.

Ibnu al-Ziyad (ابن زياد) berkata, tidak ada seorang pun yang lebih alim tentang sunnah daripada Abu Ja’far.

قال الأصمعي: قال ابن زياد: لم يكن بالمدينة أحد أقرأ للسنة من أبي جعفر.

Diriwayat daripada Ibnu Jammaz antara amalan Abu Ja’far ialah puasa bersilang hari sebagaimana puasa Nabi Daud as.

Imam Abu Ja’far meninggal dunia di Madinah pada tahun 130 hijrah.

Perawi pertama Imam Abu Ja’far ialah Isa Ibnu Wardan (عيسى بن وردان). Beliau mendalami ilmu al-Quran dengan beberapa guru antaranya ialah; Abu Ja'far (أبو جعفر), Syaibah (شيبة) dan juga Imam Nafei’ (نافع). Beliau meninggal dunia pada tahun 160 hijrah.

Perawi kedua Imam Abu Ja’far ialah Sulaiman Ibnu Muslim Ibnu Jammaz (سليمان بن مسلم بن جماز). Beliau merupakan seorang Muqri (مقرئ), amat kuat ingatan dan terpuji. Antara gurunya ialah Abu Ja’far, Nafei’, Ismail Ibnu Ja’far (إسماعيل بن جعفر) dan Qutaibah Ibnu Mihran (قتيبة بن مهران).

Beliau mendalami Qiraat Abu Ja’far dan Qiraat Nafei. Menurut Ibnu al-Jazari, Ibnu Jammaz meninggal dunia sekitar tahun 170 hijrah.

Sumber: Utusan Malaysia. Rabu. 13/7/2011.

Write a comment