Ikhwan Al-Safa Di Basrah

PERTUBUHAN politik-keagamaan bersifat rahsia yang berkembang di Basrah (البصرة) pada abad ke-4 Hijrah atau ke-10 Masihi dikenali dengan nama Ikhwan al-Safa - إخوان الصفا (Persaudaraan Suci).

Pertubuhan ini cuba mengembangkan pemikiran falsafah dalam rangka memperkukuh penerapan syariat Islam.

Bagi kumpulan ini, tidak ada pertentangan antara kebenaran akal (falsafah) dengan wahyu. Ikhwan al-Safa juga dikenali dengan beberapa nama lain: Khullan al-Wafa’ (خلان الوفاء), Ahl al-‘Adl (أهل العدل), Abna’ al-Hamddan Auliya’ Allah (أبناء الحمد أولياء الله) tetapi sering disebut dengan nama singkatnya: Ikhwanuna - إخواننا (Saudara Kita).

Ikhwan al-Safa dikenali secara meluas hasil daripada buku yang ditulis mereka seperti Rasa’ilIkhwan al-Safa (رسائل إخوان الصفا) yang masih ada sehingga sekarang. Meskipun mendapat tentangan hebat daripada kumpulan Islam tertentu, mereka dianggap berjasa dalam mengembangkan falsafah dalam dunia Islam.

Akal Dan Wahyu

Ada dua misi utama pertubuhan Ikhwan as-Safa yang saling berkaitan iaitu memulihkan kembali badan utama Islam (umat) dengan meneguhkan semula etika Islam yang murni dan memungkinkan terlaksananya syariat dengan menanamkan sikap rasional agar tercapai kearifan dalam menjalankan perintah Allah.

Menurut Ikhwan al-Safa, adanya dua cara (akal dan wahyu) untuk memperoleh keselamatan merupakan bukti kebaikan Tuhan. Kedua-duanya saling melengkapi.

Melalui akal, falsafah memberikan bukti tentang kebenaran, keyakinan dan kearifan; dan melalui wahyu, orang soleh akan memperoleh kecintaan Allah serta meneguhkan ketaatannya kepada Allah SWT.

Pengaruh

Kumpulan Ikhwan al-Safa berpengaruh besar dalam memperkenalkan falsafah Yunani ke dunia Islam. Dalam usaha itu, mereka mendapat tentangan hebat daripada golongan yang cenderung menolak falsafah.

Para teologi (mutakallimun - متكلم) yang menolak takwil berdasarkan ayat al-Quran dan hadis, misalnya, cenderung menolak mereka.

Surat Ikhwan Al-Safa

Kitab Rasa’il Ikhwan as-Safa (Surat Ikhwn al-Safa) terdiri daripada 52 naskhah: 14 tentang matematik, 17 tentang ilmu alam serta fizik, 10 tentang epistemologi dan psikologi serta 11 tentang masalah agama dan ketuhanan.

Dalam bentuk lengkap, naskhah Rasa’il Ikhwan al-Safa terbit pertama kali di Bombay (1887-1889), kemudian Kaherah (1928) dan Beirut (1957).

Saudara (Ikhwan)

Menurut kitab Rasa’il Ikhwan al-Safa, Ikhwan al-Safa merupakan pertubuhan yang teguh dan mempunyai banyak anggota di merata tempat. Dalam kitab itu disebut: “Kami memiliki ikhwan (saudara) di kalangan orang terkemuka dan soleh di seluruh negara. Sebahagiannya terdiri daripada kerajaan, perdana menteri, gabenor, bangsawan, sasterawan, pedagang, ulama, ahli perundangan, pencipta kraftangan dan anak-anak mereka.”

Oleh sebab pertubuhan itu bersifat rahsia, maka pengajaran kepada pengikutnya pun dilakukan secara rahsia.

Kitab itu juga menyebut bahawa dalam setiap golongan pengikut dihantar seorang akh (saudara, bentuk tunggal bagi kata ikhwan) yang terhormat dan bijaksana untuk memberikan bantuan serta nasihat.

Sumber: Utusan Malaysia. Selasa. 7/6/2011.

Write a comment