Perbahasan Ilmu-Ilmu al-Quran

Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA

PARA pelajar dan ilmuwan Islam banyak menggunakan pen untuk menulis pelbagai manuskrip seperti nota, karangan akademik dan salinan manuskrip al-Quran dan hadis. Kebanyakan penulis Islam di Asia Barat, Iran dan Asia Tengah menggunakan batang resam sebagai kalam atau pen manakala masyarakat Islam di China menggunakan berus.

Batang-batang resam yang pelbagai saiz dipotong serong mengikut keperluan penulis. Saiz batang resam yang besar menghasilkan tulisan khat yang besar manakala saiz yang kecil menghasilkan saiz tulisan yang kecil.

Pen ini kemudiannya dicelup ke dalam dakwat untuk menulis. Dakwat yang digunakan cepat kering dan penulis perlu mencelup pen ke dalam dakwat berulangkali bagi menghabiskan karya penulisan.

Penerangan di atas menceritakan secara ringkas tentang situasi penulisan yang dilalui oleh para penulis Islam. Oleh yang demikian itu, beberapa peralatan yang bersesuaian telah dicipta bagi membantu penulis Islam dan memudahkan mereka untuk menulis.

Peralatan yang pertama adalah bekas dakwat. Ada bermacam-macam bentuk bekas dakwat yang dicipta bagi memudahkan penulis. Ada bekas dakwat yang dibuat berasingan dan ada bekas dakwat yang dibuat bersama dengan bekas pen.

Bekas dakwat yang berasingan dengan bekas pen lebih sesuai digunakan bagi kerja penulisan di dalam rumah atau bengkel penulisan diraja. Ini kerana ia boleh memuatkan lebih banyak dakwat bagi kerja-kerja penulisan yang banyak. Bekas dakwat mesti mempunyai penutup bagi mengelakkan dakwat cepat kering.

Bagi bekas dakwat yang dibuat bersama dengan bekas pen, ia lebih sesuai digunakan oleh penulis yang bekerja di luar seperti mengambil nota dalam kerja pengawasan atau pemeriksaan. Ini kerana bekas dakwat adalah lebih kecil dan mudah dibawa.

Satu lagi peralatan yang penting dalam kerja penulisan adalah bekas pen. Bekas pen menjadikan koleksi pen jurutulis nampak lebih teratur dan kemas. Bekas pen dunia Islam diperbuat daripada tiga bahan utama iaitu kayu, logam dan seramik.

Di Iran bekas pen dikenali sebagai qalamdan. Kebanyakan bekas pen Iran diperbuat daripada kayu dan tampalan kertas (papier mache - العجينة الورقية), ia selalunya dihiasi lukisan motif bunga-bungaan berwarna-warni sebelum dilakuer. Ia mempunyai dua bahagian iaitu bahagian untuk menyimpan dan penutup.

Peralatan ketiga yang tidak kurang pentingnya adalah tempat letak pen selepas digunakan. Pen batang resam yang telah digunakan masih mempunyai dakwat dan ia perlu diletakkan di tempat yang sesuai supaya dakwat yang masih basah pada pen tidak tercalit pada bahan penulisan yang telah siap. Tempat letak pen diperbuat daripada pelbagai bahan seperti kayu, batu jed dan gading.

Konsep keindahan yang dipegang oleh seniman Islam turut mempengaruhi pembuatan tempat letak pen walaupun saiznya kecil. Ia juga turut dihias dengan ukiran tebuk. Selain hiasan, ia dilengkapi pemegang pen yang memastikan pen tidak bergolek atau jatuh.

Pisau pemotong batang resam adalah penting bagi memastikan mata pen batang resam sentiasa dalam keadaan yang baik dan tulisan yang dihasilkan juga kemas.

Pisau pemotong pen resam juga boleh didapati dalam berbagai saiz mengikut kesesuaian saiz batang resam. Terdapat pemegang pisau ini diperbuat daripada bahan berharga seperti gading.

Seniman Islam juga menghasilkan pelbagai bentuk gunting yang digunakan oleh para penghias manuskrip. Gunting juga mendapat sentuhan seni dengan teknik tatahan emas dan juga ukiran tebuk bentuk khat di bahagian pemegang. Terdapat juga gunting yang digunakan untuk memotong kepingan kertas emas.

Ketelitian dan keindahan karya kaligrafi Islam bukan sahaja terletak pada kemahiran penulis, ia juga bergantung kepada peralatan penulisan yang direka khas oleh seniman Islam bagi memastikan kerja-kerja penulisan berjalan lancar.

Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 13/5/2011.

Pin It