Oleh Khairul Anuar Mohamad
Sudah menjadi satu peraturan yang wajib, setiap kali al-Quran itu ditulis akan ada pihak yang melakukan semakan. Tanggungjawab ini dilakukan adalah untuk memastikan semua nas al-Quran yang ditulis termasuk huruf, kalimah, susunan ayat dan seumpamanya adalah betul dan tepat sebagaimana diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.
Rasulullah SAW sendiri telah melakukan semakan terhadap nas al-Quran iaitu sejurus selepas penulis wahyu selesai menulis ayat-ayat al-Quran. Hikmahnya, al-Quran terjaga daripada kesalahan, terpelihara daripada penyelewengan, kesahihannya terus terkawal dengan sempurna dan generasi selepasnya dapat membaca al-Quran dengan nasnya terpelihara daripada sebarang kesalahan.
Seorang tokoh yang terkenal satu ketika dahulu dalam semakan dan tashih al-Quran ialah Sheikh Ali Dabba’ [الشيخ علي الضباع] (meninggal pada tahun1961).
Beliau adalah Syeikh Qurra (شيخ القراء) di Mesir pada zamannya. Beliau menghasilkan banyak penulisan dalam bidang al-Quran sama ada tajwid, qiraat, Rasm al-Quran dan lain-lain berjumlah lebih daripada 40 karya.
Banyak karya Sheikh Ali Dabba’ dicetak dan dijadikan kurikulum di maahad tahfiz dan pusat pengajian al-Quran. Antaranya, kitab Samir al-Talibin (سمير الطالبين). Kandungan kitab ini adalah tentang kaedah penulisan al-Quran menurut Rasm Uthmani (الرسم العثماني).
Perbincangan ini dimulakan dengan menaqal lebih daripada 10 pendapat ulama berhubung hukum wajib menggunakan Rasm Uthmani dalam menulis al-Quran.
Dalam kitabnya ini, beliau menyatakan kitab yang menjadi pegangan dan rujukan dalam ilmu Rasm ini ialah kitab al-Muqni’ (المقنع) yang dikarang oleh Abu Amru al-Dani (أبو عمرو الداني), kitab al-Tanzil (التنزيل) yang dikarang oleh Abu Daud Sulaiman al-Najah (أبو داود سليمان النجاة) dan kitab al-Aqilah (عقيلة أتراب في الرسم) yang dikarang oleh Imam Syatibiy (الإمام الشاطبي).
Menurut Dr. Asyraf Muhammad Fuad Talaat (الدكتور أشرف محمد فؤاد طلعت), Sheikh Ali Dabba’ menjalankan urusan penyemakan al-Quran selama 52 tahun. Dalam tempoh itu, lebih 380 al-Quran telah disemak olehnya. Setiap al-Quran yang hendak dicetak mestilah disemak oleh Sheikh Ali Dabba.
Penyemakan yang dilakukan adalah helaian demi helaian dan setiap helaian ditanda khatam menandakan ia adalah betul dan tepat.
Satu artikel dalam majalah di Mesir pernah ditulis dengan tajuk Tandatangan Seorang Lelaki pada al-Quran diiktiraf seluruh umat Islam. Lelaki yang dimaksudkan ialah Sheikh Ali Dabba’.
Satu ketika dahulu, setiap tahun negara Mesir mencetak dan mengeluarkan empat juta naskhah al-Quran dalam pelbagai bentuk untuk diedarkan kepada 22 negara Islam termasuk Malaysia. Sebelum dicetak semua mushaf tersebut mestilah disemak dan disahkan kandungannya oleh Sheikh Ali Dabba’. Usaha oleh ulama terdahulu dalam menyemak al-Quran masih diteruskan pada hari ini. Beberapa jawatankuasa telah dibentuk untuk menyemak al-Quran termasuk di Malaysia.
Sumber: Utusan Malaysia. Rabu. 13/4/2011.
Write a comment
Catat Ulasan