Mukadimah
Surah al-Dhuha (والضحى والليل إذا سجى) termasuk dalam surah Makiyyah (مكية). Keseluruhan ayatnya berjumlah 11 ayat dan diturunkan selepas surah al-Fajr (والفجر وليال عشر).
Hubungan surah ini dengan surah al-Lail (والليل إذا يغشى), dalam surah al-Lail disebutkan tentang (Dan orang yang paling takwa akan dijauhkan daripadanya).
Disebabkan pemimpin daripada orang yang paling bertakwa itu adalah Rasulullah SAW, maka Allah SWT menyempurnakan penjelasan tentang perkara ini dengan menyebut pelbagai kenikmatan-Nya yang telah dianugerahkan kepadanya.
Firman Allah SWT: Demi waktu dhuha.
وَالضُّحَى (١)
Ibn Jauzi (ابن الجوزي) berkata: Ulama menyebut empat pendapat berkenaan waktu dhuha.
(1) Terangnya siang hari seperti pendapat Mujahid (مجاهد).
(2) Awal hari seperti kata Qatadah (قتادة).
(3) Awal masa daripada siang hari apabila matahari naik. Inilah pendapat al-Suddi (السدي) dan Muqatil (مقاتل).
(4) Siang hari keseluruhannya. Ini pendapat al-Farra’ (الفراء).
Firman Allah SWT: Dan malam apabila ia sunyi-sepi.
وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَى (٢)
Berkenaan dengan maksud ayat ini ada beberapa pendapat:
(1) Apabila gelap.
(2) Apabila sudah pergi. Yang kedua-duanya diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a (ابن عباس).
(3) Apabila datang seperti pendapat Sa’id bin Jubair (سعيد بن جبير).
(4) Apabila tenang seperti pendapat ‘Ata (عطاء), Ikrimah (عكرمة) dan Ibn Zaid (ابن زيد).
Firman Allah SWT: (bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Dia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).
مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَى (٣)
Syed Qutub (سيد قطب) berkata: Allah tidak sekali-kali membiar dan membuangmu sebagaimana dikatakan oleh kaum Musyrikin yang mahu menyakiti hatimu dan merungsingkan fikiranmu.
Sebabnya, Dia adalah Tuhanmu dan engkau adalah hamba-Nya yang dihubungkan kepada-Nya dan disandarkan kepada Rububiah-Nya dan Dialah Penjaga, Pelindung dan Penaungmu.
Limpah kurnia-Nya kepadamu tidak kunjung putus. Balasan-balasan yang disediakan unutkmu di akhirat adalah lebih baik dari limpah kurnia-Nya yang diberikan kepadamu di dunia.
Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.
وَلَلآخِرَةُ خَيْرٌ لَكَ مِنَ الأولَى (٤)
Al-Maraghi (المراغي) berkata: Keadaanmu pada permulaan masa hidup barumu sekarang lebih baik daripada masa-masa lalu.
Setiap hari engkau akan bertambah mulia. Setiap hari martabatmu akan semakin tinggi jika dibanding dengan sebelumnya.
Setiap saat Aku akan memberimu kehormatan demi kehormatan, ketinggian demi ketinggian.
Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda berpuas hati.
وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَى (٥)
Ibn Kathir (ابن كثير) berkata: Yakni, di alam akhirat kelak, Dia akan memberikan kurnia kepada beliau sehingga dia meredainya untuk memberi syafaat kepada umatnya dan menerima apa yang telah disediakan untuk beliau berupa kemuliaan.
Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 4/2/2011.
Write a comment
Catat Ulasan