Menteri Di JPM Saksikan Majlis Menandatangani MoA Antara Darul Quran Dengan USIM



Darul Quran JAKIM telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama bagi melaksanakan Program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunah Dengan Kepujian Universiti Sains Islam Malaysia (USIM ) di Darul Quran yang dilaksanakan di kampus Darul Quran, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Majlis menandatangani memorandum perjanjian itu telah diadakan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Aras 9, Blok D7, Putrajaya pada 3 Disember lalu.

Pada majlis tersebut, Jakim telah diwakili oleh Ketua Pengarahnya; Y.Bhg. Dato’ Wan Mohamad Bin Dato’ Syeikh Abdul Aziz dan Pengarah Darul Quran; Tn. Hj. Paimuzi Bin Yahya, manakala USIM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa; Prof. Dr. Musa Bin Ahmad dan Dekan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah; Dr. Adnan Bin Mohamed Yusoff. Majlis menandatangani dokumen MoA itu telah disaksikan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri; YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri; YB Senator Dato' Dr. Mashitah Bte Ibrahim.

Melalui memorandum persefahaman ini, Darul Quran dan USIM akan bekerjasama dalam melaksanakan program ijazah ini. Untuk makluman, idea untuk melaksanakan program ini adalah hasil daripada perbincangan dalam Mesyuarat Lembaga Darul Quran yang diadakan pada 15 Julai 2006. Program ini telah dilaksanakan pada Julai 2009 setelah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi untuk dilaksanakan selama 5 tahun mulai 2009-2014. Bagi peringkat permulaan, program ini telah ditawarkan kepada 32 orang pelajar bagi kumpulan yang pertama pada Julai 2009.

Pada pengambilan kedua seramai 36 pelajar telah ditawarkan untuk mengikuti program tersebut. Sehingga hari ini, seramai 68 pelajar yang terdiri daripada 24 siswa dan 44 siswi sedang mengikuti pengajian di semester 3 dan satu program ini.

Sumber: JAKIM.

Write a comment