Oleh ZUARIDA MOHYIN
SALAH satu tanda orang yang beriman adalah percaya pada hari kiamat. Ini kerana beriman kepada hari kiamat adalah salah satu daripada rukun iman.
Namun, kira-kira dua tahun lalu, dunia dikejutkan dengan filem bertajuk 2012. Filem arahan Roland Emmerich itu mengambil idea daripada ramalan kaum Maya yang mendakwa kitaran besar dunia tempoh ini atau hari kiamat akan berakhir pada tahun depan iaitu pada tarikh 21 Disember 2012.
Malah, lama sebelum filem 2012 dihasilkan, dokumentari bertajuk End Day pernah diterbitkan oleh BBC pada tahun 2004. Dalam dokumentari ini, digambarkan empat peristiwa besar yang mungkin menyebabkan kiamat;
1) Mega tsunami yang disebabkan oleh gempa bumi dan juga hentaman asteroid.
2) Munculnya virus pembunuh yang kemudiannya menjadi wabak, sehingga membunuh jutaan penduduk dunia.
3) Supervolcano (letusan raksaksa gunung berapi) dari dasar Taman Negara Yellowstone, Amerika Syarikat (AS) yang menyebabkan benua Amerika Utara musnah sama sekali, dan
4) Kesalahan para saintis berkaitan dengan eksperimen bagi mengubah hukum-hukum fizik seperti nuklear.
Bezanya antara filem fiksyen 2012 dengan End Day adalah di dalam End Day tidak menyatakan tarikh kiamat akan berlaku. Manakala, dalam filem '2012' dinyatakan secara saintifik tarikh kiamat itu.
Sungguhpun ramai mengetahui dan mengakui bahawa filem 2012 itu hanya dongengan, ramalan bencana besar yang akan berlaku itu amat berbahaya kepada orang yang belum memiliki iman yang kuat kerana dibimbangi mereka akan terpedaya lantas mempercayainya. Ini sebenarnya bertentangan dengan akidah Muslim.
Kaum Muslimin sebenarnya memiliki dua pusaka yang besar iaitu al-Quran dan hadis Nabi Muhammad. Dua teks ini sudah cukup bagi melindungi fahaman umat Islam daripada pelbagai ramalan mengenai hari kiamat.
Hakikatnya, sebelum penayangan filem 2012 terdapat lebih kurang 26 ramalan tentang hari kiamat yang disebarkan oleh kumpulan pemuja hari kiamat, ahli astrologi dan para ilmuwan.
Ramalan-ramalan tidak benar ini telah bermula seawal tahun 1945 hinggalah 2003. Antaranya;
(1) Charles, seorang paderi Kristian dari AS meramalkan kiamat iaitu bumi akan terbakar pada 21 September 1945, pukul 5.33 pagi.
(2) Charles Laugheda, seorang doktor dari AS meramalkan kiamat berupa banjir dan gempa bumi yang dahsyat akan terjadi pada 20 Disember 1954.
(3) Ada pihak pula pernah meramalkan kiamat akan terjadi pada 14 Julai 1960, pukul 1.45 petang disebabkan oleh ledakan bom bawah tanah milik Amerika. Lucunya, ekoran ramalan itu ada orang yang menghasilkan perahu.
(4) Ahli astrologi India pula meramalkan kiamat akan terjadi pada 2 Februari 1962 iaitu antara pukul 12.05 tengah hari hingga 12.15 tengah hari.
Pelbagai contoh ramalan kiamat di atas jelas membuktikan manusia tidak mampu mengetahui tarikh hari kiamat secara tepat.
Hanya Allah sahaja yang mengetahui saat kiamat datang melanda. Bahkan Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mengetahuinya. Baginda hanya diberitahu tentang tanda-tanda kiamat sahaja sebagaimana yang akan dikaji menerusi buku terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd. berjudul Armagedon 2012 Bencana Akhir Zaman.
Buku tulisan pensyarah di Universiti Brawijaya, Indonesia iaitu Wisnu Sasongko@Muhammad Alexander. Beliau yang kini dalam proses mendapatkan ijazah doktor falsafah (Ph.D) dalam bidang Sejarah dan Peradaban telah banyak menghasilkan kajian mengenai Yakjuj & Makjuj, Zulqarnain dan hari kiamat.
Antara buku bestseller beliau adalah Yakjuj & Makjuj: Bencana di Sebalik Gunung (2009) dan Alexander adalah Zulqarnain.
Armageddon: 2012 adalah nukilan hasil kajian berdasarkan fakta-fakta yang dirujukkan kepada penulisan ilmiah penulis-penulis lampau serta fakta-fakta yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis.
Pendekatan penulis yang meletakkan fakta-fakta mengikut susunan yang yang kemas serta bukti-bukti yang kukuh, sekali gus menjadikan ia mudah difahami oleh pembaca daripada pelbagai lapisan.
Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 7/1/2011.
Write a comment
Catat Ulasan