Imam Besar Masjid Negara Terima Anugerah Tokoh Ma'al Hijrah Negeri Terengganu



TAHNIAH diucapkan kepada Imam Besar Masjid Negara; Tan Sri Datuk Syaikh Haji Ismail Muhamad yang dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Negeri Terengganu tahun ini. Ketokohan beliau yang banyak memberi sumbangan dan khidmat kepada pembangunan dakwah Islam di negara ini adalah antara sebab beliau dipilih menerima anugerah itu. Dengan anugerah itu, Syaikh Ismail menerima hadiah wang tunai RM10,000, piala serta sijil penghargaan. Majlis itu telah dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri; Khazan Che Mat dan semua hadiah telah disampaikan oleh Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja; Tengku Sri Laksamana Raja di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam.

Tan Sri Syeikh Datuk Haji Ismail Muhammad, 66, adalah antara lapan orang generasi pertama yang yang dihasilkan oleh Darul Quran (DQ), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kira-kira 44 tahun lalu. “Pada masa itu tahun 1966, keadaan belajar waktu itu jauh berbeza berbanding zaman sekarang. “Saya masuk tahfiz disebabkan latar belakang keluarga yang susah di mana ayah dulu hanya bekerja sebagai penoreh getah. “Selepas belajar sekolah Melayu saya layak ke sekolah beraliran agama dan kebetulan mendapat biasiswa yang membolehkan saya boleh meneruskan pelajaran.

“Duit itulah saya guna untuk menampung pengajian serta membantu keluarga di kampung di samping duit daripada zakat. “Cabaran zaman itu, bidang tahfiz tidak ada orang hendak masuk kerana tidak nampak masa depannya. Kedua, ia adalah satu kursus yang baru, jadi tidak ada sesiapa yang boleh dijadikan rujukan, idola atau contoh tauladan. “Jadi semangat dan pendorong saya ialah dengan keazaman mahu keluar daripada kepompongan kemiskinan,” kata Sheikh Ismail mengimbau kenangan ketika berusia 16 tahun.

“Hafaz ketika kecil seperti ukir di batu tetapi hafaz ketika dewasa, ia umpama ukir di atas air. Ini bukanlah tidak boleh tetapi agak sukar sedikit. Malah jika kanak-kanak ini telah dididik dan diterapkan al-Quran dalam dada sejak kecil, mustahil mereka akan melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama,” jelasnya.

Sumber: Jakim.

Write a comment