Kursus Tahsin Solat dan Tahsin Quran di PPA









Pada 28-30 September yang lalu, Cawangan Agama, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama Pusat Pemantapan Akidah (PPA Jakim, Jelebu) telah berjaya menganjurkan dua program serentak iaitu Kursus Tahsin Solat dan Tahsin Quran kepada kakitangan AADK seluruh Malaysia. Kursus tersebut dihadiri oleh seramai 80 orang peserta dari pelbagai negeri termasuk Sabah dan Sarawak.


Peserta untuk Tahsin Solat ialah kader-kader JAKIM yang ditempatkan di AADK manakala untuk Tahsin Quran pula adalah dari kalangan kakitangan lantikan AADK sendiri. Kursus ini adalah siri pertama dan akan ada 2 siri kursus lain seumpamanya pada bulan Oktober dan November akan datang dengan peserta yang lain dari AADK juga.


Modul program adalah berasingan dan dikendalikan oleh dua kumpulan fasilitator yang berasingan. Namun dalam beberapa slot seperti Anjung Nurani (Kuliah Maghrib), Lembayung Kasih (Muhasabah Diri), Riadhah dan Senam Pagi, peserta digabungkan bersama-sama menjalani aktiviti tersebut. Dalam Kembara juga setiap kumpulan melalui jalan dan check point yang sama tetapi soalan tugasan dan modul adalah berbeza.


Pengisian lain dalam kedua-dua kursus ini termasuklah Ice Breaking, 2 slot Ceramah, Latihan Dalam Kumpulan dan Pembentangan. Fasilitator untuk kedua-dua kursus ini adalah dari kalangan kakitangan PPA sendiri dengan dibantu oleh para hafiz Quran yang bertugas di pelbagai agensi sekitar Seremban. Para urusetia dari AADK turut menunjukkan komitmen yang amat baik dalam membantu kelancaran kursus ini secara keseluruhan.


Majlis Penangguhan disempurnakan dengan jayanya oleh Y.Bhg. Ustaz Ruslan bin Said; Ketua Penolong Pengarah (Agama) AADK. Hadir bersama dalam majlis tersebut termasuklah Ustaz Jamal bin Abdul Halim, Penguasa PPA, para fasilitator PPA dan urusetia dari AADK.


Sumber: JAKIM.

Write a comment