Imam Tarawih Dari Palestin Tahun Nih!

Imamkan Solat Tarawih, Kongsi Pengalaman Ditindas Israel

Gaza | Seramai 14 imam tahfiz dari Gaza dijemput mengimamkan solat Tarawih di masjid terpilih seluruh Malaysia sepanjang Ramadan tahun ini.

Pada masa sama, mereka akan berkongsi pengalaman mengharungi kehidupan di bawah penindasan rejim Zionis selama ini bersama jemaah.


Usaha membawa kumpulan imam itu dijayakan oleh badan bukan kerajaan, Aman Palestin Malaysia (AMAN PALESTIN) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan jabatan agama Islam setiap negeri.

Bagi menjayakan program dua hala itu juga, AMAN PALESTIN membawa wakil jabatan agama Islam beberapa negeri terbabit ke Gaza dalam Misi Kemanusiaan Ke-15 untuk bertemu imam tahfiz yang bakal ke Malaysia itu.

Ketua Misi AMAN PALESTIN, Anas Abdul Wahab, berkata antara yang menghantar wakil termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak, Perlis dan Terengganu.

Beliau berkata, usaha membawa imam itu kali kedua dilakukan AMAN PALESTIN dalam usaha mengimarahkan Ramadan tahun ini selepas dimulakan dengan empat imam pada tahun lalu.

Imam Di Masjid Berbeza

“Menerusi program disusun, setiap imam akan berada di masjid yang berbeza setiap malam sepanjang Ramadan ini di setiap negeri.

“Kami berharap usaha itu juga dapat meningkatkan lagi kesedaran rakyat Malaysia khususnya umat Islam untuk terus menghulurkan sumbangan bagi membantu saudara sesama Islam di Gaza,” katanya kepada BH yang menyertai misi kali ini.

Turut serta dalam misi ini termasuk Ketua Pegawai Eksekutif AMAN PALESTIN, Awang Suffian Awang Piut dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Mohd Yusof Idris.

Misi disertai sembilan peserta kali ini, mengambil masa enam jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah untuk menuju ke sempadan Gaza di Rafah yang terletak sejauh kira-kira 500 kilometer dengan menaiki sebuah van.

Kerenah birokrasi yang ketat menyebabkan rombongan misi terpaksa menunggu tiga jam lagi di pejabat Bahagian Pasport Mesir di sempadan Rafah sebelum mendapatkan kebenaran meninggalkan Mesir bagi memasuki Gaza.

Sejurus melepasi sempadan, rombongan AMAN PALESTIN disambut sebagai tetamu kerajaan oleh Dr Walid Waiedah yang juga penasihat kepada Menteri Wakaf Palestin, serta petugas Aman Palestin Gaza diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Umar Seyam.

Dr Walid berkata, seluruh rakyat Palestin menghargai ziarah yang dilakukan rakyat dan pemimpin dari Malaysia ke wilayah Gaza selama ini walaupun terpaksa menempuh pelbagai kesukaran sepanjang perjalanan ke sini.

Write a comment