Jangan Ikut Golongan Kuffar


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SETELAH diceritakan perihal orang musyrik yang menuduh Baginda SAW sebagai seorang yang gila, padahal Allah SWT mengurniakan kesempurnaan agama dan akhlak kepadanya.

Lalu Allah SWT menambahkan penjelasan yang dapat mengukuhkan hatinya kepadanya dan mengajaknya agar bersikap tegas terhadap kaumnya. Meskipun jumlah pengikutnya sedikit berbanding dengan jumlah orang kafir yang ramai kerana surah ini termasuk antara surah terawal diturunkan.

Allah SWT mencegah baginda SAW agar tidak mentaati mereka pada umumnya. Kemudian Dia mengulangi larangan-Nya supaya tidak mentaati para pendusta yang berakhlak buruk seperti yang disebut dalam ayat-ayat ini secara khusus.


Ini bagi menunjukkan perbuatan mereka yang jahat dan jiwa mereka yang hina serta menghubungkannya dengan dosa yang mengandungi kesalahan yang besar.

فَلا تُطِعِ الْمُكَذِّبِينَ (٨) وَدُّوا لَوْ تُدْهِنُ فَيُدْهِنُونَ (٩) سورة القلم

Firman Allah SWT: Maka janganlah kamu ikuti orang-orang yang mendustakan (ayat-ayat Allah). Maka mereka menginginkan supaya kamu bersikap lunak lalu mereka bersikap lunak (pula kepadamu).

Ibn al-Jauzi menukilkan tujuh pendapat dengan bersikap lunak:

* Kalau kamu memberi rukshah nescaya mereka memberi rukshah seperti pendapat Ibn Abbas.

* Kalau kamu lebih kurang pada agama kamu, nescaya mereka berlebih kurang pada agama mereka. Inilah pendapat al-Hasan.

* Kalau kamu kufur, nescaya mereka mengkufurinya. Inilah pendapat Atiyyah, al-Dahhaq dan Muqatil.

* Kalau kamu berlembut, nescaya mereka berlembut kepadamu. Inilah pendapat Ibn al-Saib.

* Kalau kamu bersikap pura-pura, nescaya mereka bersikap pura-pura. Inilah pendapat Zaid bin Aslam.

* Kalau kamu bersikap lunak pada agamamu, nescaya mereka bersikap lunak pada agama mereka. Inilah pendapat Ibn Qutaibah.

* Kalau kamu mendekati mereka, nescaya mereka mendekatimu. Inilah pendapat Ibn Kaisan.

Al-Maraghi berkata: Orang musyrik mahu kamu bersikap lembut dengan mereka dalam perkara menerima tuhan mereka, moga-moga mereka akan mengikutmu dalam menyembah Tuhanmu.

Menurut sebuah riwayat, para pembesar Mekah mengajak Baginda kepada agama nenek moyang, lalu Allah SWT melarangnya daripada terpengaruh dengan ajakan mereka itu. Mereka mahu meninggalkan agamanya dengan menyertai agama mereka.

Apabila baginda menurut agama mereka pasti mereka akan bersikap baik terhadapnya. Sedangkan meninggalkan sebahagian dari agama itu merupakan kekafiran yang nyata. Maksud larangan ini adalah untuk menentang mereka serta memperhebatkan lagi permusuhan dengan mereka.

وَلا تُطِعْ كُلَّ حَلافٍ مَهِينٍ (١٠) هَمَّازٍ مَشَّاءٍ بِنَمِيمٍ (١١) مَنَّاعٍ لِلْخَيْرِ مُعْتَدٍ أَثِيمٍ (١٢) سورة القلم

Firman Allah SWT: Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina. Yang banyak mencela, yang kian ke mari menghambur fitnah. Yang banyak menghalangi perbuatan baik, yang melampaui batas lagi banyak dosa.

Ibn al-Jauzi berkata: Ulama khilaf siapakah yang dimaksudkan dalam ayat ini kepada tiga pendapat:

* Al-Walid bin al-Mughirah seperti pendapat Ibn Abbas dan Muqatil.

* Al-Akhnas bin Syariq seperti pen dapat Atha’ dan al-Suddi.

* Al-Aswad bin Abdu Yaghuth. Inilah pendapat Mujahid.

Al-Magahri berkata: Engkau tidak dibenarkan mengikut orang yang banyak bersumpah sama ada dengan hak atau batil. Bagi orang yang berdusta, mereka menyembunyikan kelemahan dan kehinaannya di hadapan yang hak. Suka mengadu domba untuk merosakkan hubungan mereka.

Perkataan asal adalah al-Namimah bermaksud gerakan yang tersembunyi. Contohnya askatallahu na’matuhu (Allah SWT mendiamkan na'mahnya) atau dengan kata lain perbuatan yang disembunyikannya. Mereka adalah orang bakhil yang tidak suka mengeluarkan harta kepada yang memerlukannya dan orang yang dalam kesusahan.

Mereka ini juga tidak menunaikan keperluan orang yang memerlukan, tidak menolong orang yang berada dalam kesempitan serta tidak cuba membantu manusia yang ditimpa kesulitan dan kesukaran seperti mengusir musuh yang menyerang atau menolak bencana yang menimpa negeri kerana semua ini memerlukan perbelanjaan harta benda.

Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 7/10/2011.

Write a comment