Sanad Riwayat Hafs



Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD


Perbezaan bacaan al-Quran dalam Qiraat Tujuh1 atau Qiraat Sepuluh2 adalah untuk menyempurnakan lagi makna al-Quran. Tidak ada satupun kalimah yang dibaca dengan beberapa qiraat mempunyai pertentangan makna. Selain itu, banyak juga kalimah al-Quran yang hanya berbeza dari sudut sebutannya sahaja, seperti imalah, taqlil, tashil dan tahqiq.


Hakikatnya ilmu qiraat telah memberi kemudahan kepada umat nabi Muhammad SAW yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan bahasa pertuturan untuk membaca al-Quran. Keizinan membaca al-Quran dengan pelbagai qiraat menjadikan al-Quran tersebar dengan cepat di seluruh pelosok dunia. Riwayat bacaan al-Quran yang tersohor dalam dunia Islam hari ini ialah Riwayat Hafs daripada Imam Asim. Majoriti umat Islam membacanya dan kebanyakan al-Quran dicetak mengikut riwayatnya. Bagaimanapun timbul persoalan kenapakah Riwayat Hafs amat popular di kalangan umat Islam berbanding dengan riwayat lain seperti Khalaf, Khallad, al-Susi dan lain-lain.


Dalam satu seminar al-Quran, penulis pernah bertanyakan hal ini kepada tokoh al-Quran iaitu Sheikh Husien al-Sabbah yang pernah berkhidmat di Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Sheikh Husien al-Sabbah menjawab, faktor tersebarnya Riwayat Hafs dalam dunia Islam pada hari ini kerana tiga sebab utama.


A) Khilaf bacaan yang terdapat dalam riwayat ini amat sedikit berbanding riwayat lain. Terdapat hanya satu imalah sahaja iaitu dalam surah Hud, satu tashil sahaja iaitu dalam surah Fussilat, satu raum atau isymam sahaja iaitu dalam surah Yusuf, empat tempat saktah iaitu dalam surah al-Kahf, Yasin, al-Haqqah dan al-Mutaffifin. Dan beberapa khilaf yang lain.


B) Sanad Riwayat Hafs adalah secara langsung dan bersambung daripada beliau hingga kepada Rasulullah SAW tanpa wasitah atau perantaraan sebagaimana beberapa riwayat lain seperti Qunbul, al-Bazzi, Khalaf dan Khallad.


Dengan maksud Imam Hafs bertalaqqi dan mempelajari al-Quran dari Imam Asim. Imam Asim pula bertalaqqi dari gurunya Abu Abdul Rahman al-Sulami yang menekuni bacaan al-Quran daripada gurunya Ali Ibn Abi Talib r.a yang mengambil al-Quran daripada Rasulullah SAW.


C) Semua pembawa sanad Riwayat Hafs adalah ulama al-Quran yang tersohor dan amat dipercayai pada zaman mereka.


Ali Ibn Abi Talib, umum mengakui kealiman dan ketokohannya yang tiada tolak bandingnya. Sementara Abu Abdulrahaman al-Sulami yang meninggal pada tahun 74 hijrah adalah orang kepercayaan Uthman Ibn Affan r.a yang mengutusnya bersama mushaf kepada penduduk Kufah. Walaupun beliau adalah seorang yang cacat penglihatan, namun beliau menguasai ilmu yang banyak dan tempat rujukan utama penduduk Kufah berkaitan al-Quran. Selepas Abu Abdul Rahman al-Sulami meninggal, ulama yang menggantikannya sebagai rujukan penduduk Kufah ialah Imam Asim Abu al-Najud. Seorang yang tinggi akhlak dan ilmu al-Quran.3


Al-Quran berada dalam dadanya ibarat seperti darah yang mengalir di tubuhnya. Atau ibarat yang selalu dikatakan oleh penghafal al-Quran, cair seperti air. Walaupun khilaf dalam riwayat Hafs adalah sedikit namun masih ramai umat islam membacanya tidak mengikut kaedah yang betul. Justeru dapatkan tunjuk ajar dari guru bagi mencapai satu bacaan yang tepat.


Sumber: Utusan Malaysia. Khamis. 4/11/2010.


_________________________________________________________
1. Qiraat Tujuh dikenali Qiraat Mutawatir bersandar Tariq Syatibiy. Kemudian ditambah 3 riwayat qiraat lagi oleh Ibnu Jazari lalu 10 qiraat ini dikenali dengan nama Qiraat Sepuluh Kecil (القراءات العشر الأصغر).


2. Qiraat Sepuluh dikenali Qiraat Masyhur bersandar Tariq Ibnu Jazari yang kemudian dikenali sebagai Qiraat Sepuluh Besar (القراءات العشر الأكبر).


3. Sanad Hafs:
حفص
dari
عاصم
dari
عبد الرحمن السلمي
dari
علي بن أبي طالب وعثمان وابن مسعود
dari
رسول الله صلى الله عليه وسلم


Write a comment