Maksud Tujuh Huruf







Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD


Matlamat tujuh huruf yang diberikan kepada umat Nabi Muhamad adalah untuk meringan dan kemudahan mereka membaca al-Quran. - Gambar hiasan


UMUM mengetahui bahawa nama riwayat bacaan al-Quran yang diamalkan di kebanyakan negara Islam pada hari ini, Malaysia khususnya adalah Riwayat Hafs daripada Qiraat Asim.


Qiraat Asim adalah salah satu daripada Qiraat Tujuh atau Qiraat Sepuluh yang telah diittifaq ulama statusnya mutawatirah.


Untuk memahami riwayat-riwayat al-Quran, ia memerlukan kepada memahami susur galur sejarah bacaan al-Quran di zaman Rasulullah SAW hinggalah kepada pembukuan al-Quran di zaman Abu Bakar al-Siddiq r.a dan Uthman Ibn Affan r.a.


Selain itu, perlu juga mengkaji perkembangan Qiraat di zaman Ibnu Mujahid yang meninggal dunia pada tahun 324 hijrah.


Nama ini cukup besar dalam pengajian ilmu qiraat kerana beliaulah yang memilih tujuh qurra’ iaitu Nafei al-Madani, Ibnu Kathir al-Makki, Abu Amru al-Basri, Ibnu Amir al-Dimasyqi, Abu al-Najud Asim al-Kufi, Hamzah al-Zayyat dan al-Kisai.


Tujuh Qiraat atau Sepuluh Qiraat adalah satu juzuk daripada Tujuh Huruf. Pandangan ini dipegang oleh jumhur ulama.


Huraian dan syarahan hadis berkaitan tujuh huruf ini mendapat perhatian ulama dulu hingga sekarang.


Sumber: Utusan Malaysia. Khamis. 7/10/2010.

Write a comment