Oleh Khairul Anuar Mohamad
APABILA mendengar qari membaca al-Quran dengan riwayat yang berlainan dengan bacaan yang selalu kita amalkan, timbul beberapa persoalan. Adakah riwayat yang dibaca itu datang daripada Rasulullah SAW?
Di manakah mulanya khilaf ini berlaku? Adakah sahabat membaca al-Quran dengan wajah-wajah yang berbeza? Demikian juga beberapa soalan lain.
Asas utama memahami ilmu qiraat ialah semua khilaf yang berlaku dalam ilmu qiraat datang daripada Rasulullah SAW.
Ilmu ini berpaksi kepada talaqi dan musyafahah atau bermaksud mesti mempelajarinya daripada guru yang bersambung sanad pengajiannya kepada Rasulullah SAW. Semua Qiraat Tujuh atau Qiraat Sepuluh mempunyai sanad sehingga Rasulullah SAW.
Satu hadis yang diriwayat oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim menjelaskan bahawa telah berlaku khilaf atau perbezaan bacaan al-Quran di zaman Rasulullah.
Mereka meriwayatkan bahawa Umar Ibn al-Khattab r.a berkata: Aku mendengar Hisyam Ibn Hakim Ibn Hizam membaca surah al-Furqan semasa hayat Rasulullah SAW. Aku mendengar bacaannya tiba-tiba beliau membaca dengan bacaan berlainan dari apa yang Rasulullah SAW ajar kepadaku. Nyaris-nyaris aku menahannya dalam sembahyang.
Aku menunggu sehingga beliau selesai sembahyang. Lalu aku memegang bajunya dan berkata: Siapakah yang mengajar kamu surah ini?
Beliau menjawab: Rasulullah SAW yang mengajarku. Aku berkata kepadanya: Kamu dusta, demi Allah sesungguhnya Rasulullah SAW telah mengajar kepada ku surah ini yang aku dengar kamu membacanya sebentar tadi. Kemudian aku membawanya berjumpa dengan Rasulullah SAW.
Aku berkata: Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya aku mendengar orang ini (Hisyam) membaca surah al-Furqan dengan cara bacaan yang tidak kamu ajar kepada ku sedangkan kamu telah ajar kepada ku surah al-Furqan.
Sabda Rasulullah SAW: Lepaskannya wahai Umar. Baca wahai Hisyam, lalu Hisyam membaca sebagaimana aku dengar sekejap tadi.
Sabda Rasulullah SAW begitulah al-Quran diturunkan. Kemudian Rasulullah saw berkata: Baca wahai Umar! Lalu aku membacanya, sabda Rasulullah SAW: Begitulah ia diturunkan. Dan Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya al-Quran itu diturunkan dengan tujuh huruf maka bacalah kamu yang mudah daripadanya.
Hadis di atas memberi maksud bahawa berlakunya khilaf bacaan di kalangan para sahabat r.a.
Bacaan al-Quran yang diwarisi kepada generasi sekarang adalah dengan cara mempelajari dari guru. Ia berterusan begitu dari dari zaman kita sekarang ini hingga ke zaman Rasulullah.
Sumber: Utusan Malaysia. Khamis. 30/9/2010.

Write a comment
Catat Ulasan