Perawi Imam Al-Kisaei

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

DI kalangan qiraat tujuh terdapat qiraat yang tidak lagi diamalkan seperti Qiraat Ibn Kathir (قراءة ابن كثير), Ibn ‘Amir (قراءة ابن عامر), Imam Hamzah (قراءة حمزة) dan Qiraat al-Kisai (قراءة الكسائي).

Namun Qiraat al-Kisai melalui dua perawinya Abu al-Harith (أبو الحارث) dan al-Duri (الدوري) masih boleh dipelajari melalui talaqqi dengan guru yang mempunyai sanad.

Semua usul Qiraat Tujuh dan khilaf kalimah dalam surah atau disebut Farsy (فرش الحروف) disenarai dan dicatat dalam bentuk nadham oleh tokoh ilmu qiraat iaitu Imam Syatibiy - الشاطبي (meninggal pada tahun 590 hijrah) melalui kitabnya Hirz al-Amani wa wajh al-Tahani (حرز الأماني ووجه التهاني) atau terkenal dengan Matan Syatibiy (متن الشاطبي).

Metod pengajaran ilmu Qiraat pula mestilah menghafaz matan Syatibiy ini dan guru akan memperkenalkan kaedah membaca qiraat secara jamak (القراءة بالجمع).

Dengan maksud semua khilaf qiraat yang ada dalam sesuatu ayat akan dibaca pelajar bermula dengan Qiraat Nafei (قراءة نافع) hingga Qari yang ketujuh iaitu Imam al-Kisai (الإمام الكسائي).

Maksud penulis, Qiraat al-Kisaei tidak diamalkan dalam sudut menjadikannya bacaan rasmi negara Islam sebagaimana riwayat Hafs (رواية حفص) daripada Imam ‘Asim (الإمام عاصم) yang kebanyakan dunia Islam membacanya.

Begitu juga riwayat Warsy (رواية ورش) yang mendominasi negara Islam di utara Afrika atau riwayat Qalun (رواية قالون) yang menjadi bacaan umat Islam di Libya (لبيا). Namun Qiraat al-Kisaei kini tidak dijadikan riwayat rasmi di mana-mana negara Islam.

Walaupun begitu, Qiraat al-Kisaei pada satu masa dahulu diamalkan di Kufah (الكوفة) iaitu tempat Imam al-Kisaei bermukim. Ramai ulama meriwayat Qiraat al-Kisaei melalui perawinya Abu al-Harith dan al-Duri.

Secara umumnya bacaan al-Kisaei ada persamaan dengan bacaan gurunya Imam Hamzah () khususnya pada imalah (إمالة) kalimah yang mempunyai huruf ya (ي) diakhirnya.

Kelainan Qiraat al-Kisaei berbanding Qiraat Tujuh yang lain adalah membaca imalah pada ha ta’nith (هاء التأنيث) yang berada pada akhir kalimah seperti al-malaikah (الملائكة).

Perawi pertama yang meriwayat Qiraat al-Kisaei ialah Abu al-Harith al-Baghdadi (أبو الحارث البغدادي). Menurut Al-Dani (أبو عمرو الداني), Abu al-Harith adalah murid terunggul al-Kisaei dan bertalaqqi dengannya.

Abu al-Harith menjadi penyambung penyebaran Qiraat al-Kisaei. Ramai yang bertalaqqi dengannya antaranya Salamah Ibn ‘Asim (سلامة بن عاصم), Muhammad Ibn Yahya al-Kisaei al-Soghir (محمد بن يحي الكسائي الصغير), al-Fadhl Ibn Syazan (الفضل بن شاذان) dan Ya’qub Ibn Ahmad (يعقوب بن أحمد). Abu al-Harith meninggal dunia sekitar tahun 200 hijrah.

Perawi kedua al-Kisaei ialah Abu Umar al-Duri (أبو عمر الدوري). Jika dilihat senarai para perawi Qiraat bermula dari perawi Imam Nafei’ hinggalah perawi Imam Ketujuh Imam al-Kisaei kita dapati semuanya orang yang berbeza. Kecuali al-Duri yang menjadi perawi Imam Abu Amru dan al-Duri juga adalah perawi kepada Imam al-Kisaei.

Al-Duri meriwayat Qiraat Abu Amru (قراءة أبو عمرو) melalui perantaraan yang merupakan murid kepada Abu Amru iaitu Yahya al-Yazidi (يحي اليزيدي). Manakala Qiraat al-Kisaei, beliau meriwayat secara talaqqi daripada gurunya al-Kisaei.

Justeru dalam buku Qiraat apabila menyatakan tentang bacaan al-Duri, mereka akan menyebut al-Duri al-Kisaei atau menyebut al-Duri Abu Amru (أبو عمرو الدوري) bagi mengelak kekeliruan mana satukah al-Duri yang dikehendaki.

Dengan berakhirnya cerita Imam al-Kisaei dan perawinya maka sempurnalah pengenalan Qiraat Tujuh yang merupakan qiraat mutawatirah (قراءات متواترة) dan kesemuanya sah dibaca dalam sembahyang.

Sumber: Utusan Malaysia. Rabu. 25/5/2011.

Write a comment