Mufti Perlis Bidas Pelajar Maahad Tahfiz

KUALA LUMPUR | Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin membidas pelajar sebuah maahad tahfiz di Beseri, Perlis kerana memuat naik status di Facebook yang mendakwa beliau mengarahkan penutupan maahad tahfiz tersebut.

Mohd. Asri berkata, beliau tidak faham mengapa pelajar tahfiz terbabit boleh menyebarkan fitnah berkenaan dan berpandangan perangai pelajar maahad tahfiz seperti itu perlu dididik.

“Saya difahamkan budak mengaji tahfiz yang buat fitnah ini. Macam mana la. Itu mengaji tahfiz tu. Dia tulis dalam Facebook.

“Kita telah panggil semua pelajar ini dan beri penerangan. Semua kata ok. Budak tahfiz ini kena dididik perangai,” katanya dalam satu rakaman video semalam.

Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial Mufti Perlis didakwa mengarahkan penutupan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat milik Yayasan Islam Perlis di Jalan Guar Jentik, Beseri.

Ia berikutan salah seorang pelajar maahad tahfiz itu menyindir Mohd. Asri di Facebook dengan menzahirkan ‘terima kasih’ kepadanya kerana ‘mempermudahkan’ urusan penutupan maahad tahfiz berkenaan.

“Maka mudahlah spesis mufti ini membiak dengan aman di negeri ini (Perlis). Terima kasih,” sindir pelajar tersebut lagi.

Mohd. Asri menafikan dakwaan pelajar itu dengan memaklumkan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat bukan ditutup, tetapi digantikan dengan kolej tahfiz selepas ia dibeli oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Kata beliau, MAIPs membeli maahad tahfiz tersebut kerana pengurusannya gagal memabayar gaji guru dan membiayai pelajarnya, malah saban tahun memohon bantuan daripada MAIPs.

“Pelajar tak ramai tapi (bil) air sampai berpuluh ribu (ringgit). Oleh itu kita buat keputusan beli sekolah tersebut. Tujuannya nak selesaikan gaji guru-guru terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, pelajar maahad tahfiz tersebut tidak boleh diserapkan dalam kolej baru kerana maahad tahfiz adalah dibawah program Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Jadi kita ambil pelajar baru. Pelajar Jakim kita pulangkan semula kepada Jakim.

“Kadang-kadang hairan ada orang nak tegakkkan, perjuangkan Islam. Tetapi membohong kuat. Dekat pilihan raya biasalah. Itupun dikatakan pejuang Islam,” katanya dipercayai merujuk kepada penyokong sebuah parti politik.

Sumber: Mynewshub

Write a comment